Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menampilkan nama baharu yang terkait dengan penerimaan dana politik dari syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).

Sebelum ini, pemimpin yang turut dikaitkan ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Terkini yang dikaitkan menerima wang hingga jutaan ringgit ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan; bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri 2, Tan Sri Ong Ka Chuan dan Tan Sri Rahmat Abu Bakar.

Menurut Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, masing-masing daripada penama berkenaan telah menafikan termasuk Rahmat telah membuat kenyataan bertulis menafikannya.

Sehubungan itu, beliau menggesa bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun mengambil tindakan segera menafikan kenyataannya dalam mahkamah itu bukan palsu, fitnah atau berniat jahat seperti didakwa Rahmat.

Ini kerana katanya, keterangan itu bukan sahaja merupakan menghina kewibawaan mahkamah dan jika palsu ia mencemar nama orang yang didakwa walaupun mereka telah menafikannya.

“David Tan dalam mahkamah telah mengangkat sumpah di kandang saksi dan dia tidak boleh berbohong dengan apa jua keterangannya kepada mahkamah.

“Oleh itu, Wira Putra mencabar David Tan mengemukakan lebih banyak bukti di luar mahkamah bersabit tuduhannya terhadap individu yang dikaitkan itu.

“Contohnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga dikatakan menerima dana tersebut melalui anak saudaranya, Rahmat,” kata beliau.

Kata Nasrul Ali Hasan, kebenaran memerlukan pembuktian yang akan menentukan sama ada tuduhan itu berasas serta hukuman perlu dikenakan atau tidak.

“Kemuliaan mahkamah dan kebijaksanaan hakim tidak boleh dipersenda dalam menegakkan keadilan. Jika benar kenyataan David Tan memberi keterangan palsu dan mengelirukan ia wajib diambil tindakan dan bertanggungjawab sepenuhnya atas keterangan itu.

“Jika benar dakwaan itu, nama-nama yang disebut perlu segera disiasat dan tindakan sewajarnya dikenakan,” katanya.

Beliau juga berkata, jika didapati ada tangan ghaib yang mengarahkan David Tan untuk membuat tuduhan mengelirukan, individu terbabit juga perlu didedahkan dan dikenakan hukuman setimpal. – MalaysiaGazette