Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menerima baton dari Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Wan Norhana Mohamad yang mengetuai Konvoi Kembara Keluarga Malaysia Daerah Petaling yang dilepaskan oleh Perdana Menteri Malaysia dari Putrajaya ke 'check point' Shah Alam di Dewan Jati, Seksyen 16. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Lebih 20,000 Jalur Gemilang diedarkan kepada orang ramai sepanjang jelajah konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) di Selangor bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan 2022.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor, Wan Norhana Mohamad berkata, setakat ini, pengedaran Jalur Gemilang telah dibuat di daerah Kuala Langat dan Petaling bermula hari ini.

“Program ini bermula dengan pelepasan konvoi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya awal pagi tadi dengan membawa baton untuk dibawa ke checkpoint di Selangor dan setiap sempadan negeri.

“Selangor adalah negeri pertama menerima baton dari Wilayah Persekutuan Putrajaya yang seterusnya diserahkan ke Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad (KVSAS) dan Dataran Pantai Morib, Banting hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di Seksyen 16 hari ini.

Ketibaan konvoi itu disambut Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari; Penyelaras Persekutuan Kota Anggerik, Azman Mat Isa dan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia, Seksyen 16, Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri.

Peserta Konvoi Kembara Keluarga Malaysia Daerah Petaling yang tiba ke ‘check point’ Shah Alam dari Putrajaya ketika di Dewan Jati, Seksyen 16. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2022.

Terdahulu beliau mengetuai KMKM2022 diiringi 50 motosikal berkuasa besar dan jentera dari Kelab Permotoran BMW K16 Malaysia dan Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM).

Turut sama dalam KMKM2022 itu ialah unit peronda kereta dan motosikal Polis DiRaja Malaysia (PDRM), JaPen dan APM.

Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari bersama Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia, Seksyen 16 Shah Alam, Mohd Dendera Bilah Zamzuri dan Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Wan Norhana Mohamad mengibarkan jalur gemilang semasa menyambut Konvoi Kembara Keluarga Malaysia Daerah Petaling yang dilepaskan oleh Perdana Menteri Malaysia dari Putrajaya ke ‘check point’ Shah Alam di Dewan Jati, Seksyen 16. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2022.

Tambahnya, KMKM2022 akan berada di Selangor bermula hari ini hingga 1 Ogos ini melibatkan lima daerah termasuk Kuala Langat, Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Pada 1 Ogos ini, JaPen Selangor akan menghantar baton tersebut ke destinasi seterusnya iaitu di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

“Setiap persinggahan konvoi ini diadakan pelbagai program seperti pengedaran risalah, bahan penerbitan serta aktiviti melekat dan memasang Jalur Gemilang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette