Foto FB KDN FC.

KUALA LUMPUR –  Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) muncul pasukan pertama yang dihukum oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana didapati bersalah mengalakkan penstriman secara haram kepada para penyokong.

MFL dalam satu kenyataan juga memberi amaran keras kepada semua pasukan Liga Malaysia agar tidak mempromosi penstriman secara haram untuk menonton perlawanan Liga Malaysia 2024-2025.

“Kelantan Darul Naim FC telah dikenakan denda sebanyak RM5,000 serta amaran pertama selepas mengeluarkan kenyataan media dengan mempromosikan penstriman langsung (bukan penyiar rasmi) di laman media sosial rasmi kelab pada 27 September 2024.
“Ini jelas melanggar Peraturan Media seperti yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2024.

“Sekiranya perkara sama berulang lagi, hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada mana-mana kelab yang melanggar peraturan tersebut,” kata kenyataan itu.

Bagi menjaga privasi perlawanan secara langsung dan hak penyiaran rasmi, penyokong-penyokong dilarang untuk menyaksikan sebarang perlawanan secara haram di mana-mana platform media sosial atau laman web tidak rasmi yang juga telah termaktub mengikut Seksyen 43AA Akta Hak Cipta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi, Astro selaku penyiar rasmi dan RTM sebagai rakan penyiar rasmi sentiasa berusaha memberikan siaran perlawanan serta liputan yang lebih komprehensif bagi Liga Malaysia musim ini demi kepuasan peminat bola sepak tempatan.

Justeru, aktiviti mempromosikan atau menggalakkan tontonan di laman web haram tidak seharusnya berlaku selain berharap penyokong Liga Malaysia menunjukkan tanda sokongan kepada kelab kegemaran masing-masing dengan menonton perlawanan secara langsung di platform yang telah disediakan.

“Kami di pihak MFL sangat menjaga privasi kandungan dan tontonan aksi Liga Malaysia di mana kami juga ingin menjaga hak penyiar rasmi iaitu Astro dan RTM yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik kepada penyokong.

“Kami juga mahu melindungi nilai komersial Liga Malaysia di mana hak penyiaran juga adalah antara punca pendapatan besar kepada kelab-kelab.

“Justeru, apabila ada yang masih mempromosikan siaran langsung secara haram, MFL sememangnya berasa kecewa dan berharap situasi sebegini tidak lagi berlaku.

“Harapan saya adalah penyokong-penyokong tidak sesekali menonton sebarang perlawanan secara haram sebaliknya menonton siaran yang telah disediakan iaitu Astro dan RTM,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast