Yashir Islame Pinto (kiri).

KUALA LUMPUR – Pengalaman pernah beraksi dengan beberapa pasukan di Liga Malaysia sebelum ini menjadikan pemain import Negeri Sembilan FC, Yashir Islame Pinto tidak berfikir dua kali untuk kembali ke sini.

Walaupun mempunyai peluang meneruskan karier di Thai League 1 selepas bersama Khon Kaen United selama dua musim, Yashir memilih untuk kembali ke Liga Malaysia.

Bukan sahaja atas faktor keluarganya menyukai persekitaran di Malaysia namun pemain berusia 31 tahun itu akui tahap Liga Malaysia yang semakin kompetitif.

Malah, dia gembira kerana pilihannya bersama Negeri Sembilan FC tepat apabila berjaya membawa pasukannya kini di tempat ketiga Liga Super.

“Selepas dengan PKNP, kelab terakhir yang saya wakili, saya teruja untuk hadir ke sini semula dan tidak berfikir panjang apabila mendapat tawaran dari Negeri Sembilan.

“Saya berpeluang untuk terus berada di Thailand tetapi Malaysia sentiasa menjadi pilihan pertama.

“Keluarga saya menganggap Malaysia ini seperti rumah kedua kerana segala-galanya terdapat di sini malah saya sendiri amat suka dengan suasana di Liga Malaysia.

“Apa yang mengejutkan saya apabila sampai di Negeri Sembilan, kualiti pemain import sangat hebat seperti Herold Goulon yang menjadi tunjang kekuatan di bahagian pertahanan selain Matheus Alves, Omid Nazari dan Gustavo Almeida.

“Malah Syihan Hazmi dan Khuzaimi Piee telah pamerkan prestasi cemerlang untuk dipanggil dalam skuad kebangsaan, jadi semua faktor ini berkait rapat membantu prestasi hebat Negeri Sembilan, ” katanya.

Selain PKNP pada 2019, Yashir juga pernah bermain bersama Melaka (2016) dan Perak (2017).

Yashir telah jaringkan dua gol semasa bertemu Sri Pahang FC (3-0) dan Terengganu FC (2-1) dalam 5 penampilan bersama Negeri Sembilan setakat ini.

Pemain itu mempunyai 18 caps bersama Palestin serta menjaringkan enam gol di peringkat antarabangsa.

Bertemu Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad ini, Yashir akui tugas getir bakal menanti skuad Hobin Jang Hobin kerana lawan mereka masih belum pernah tewas musim ini di laman sendiri.

“Selangor sememangnya sukar ditentang apabila beraksi tempat mereka dan saya akui perlawanan ini pasti sengit.

“Namun, Negeri Sembilan yang dikenali sebagai pasukan yang sentiasa bekerja keras di atas padang akan cuba berikan saingan kerana misi utama kami ialah untuk mengekalkan kedudukan tiga terbaik di liga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast