Tan Sri Mohamed Apandi Ali Attorney-General termination Mahathir Mohamad government suit
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan daripada Tan Sri Apandi Ali berhubung satu laporan ke atas beliau sebagai bekas peguam negara untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1Malaysia Development Berhad.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, proses merakam keterangan bekas Peguam Negara itu akan dilakukan pada jam 2.30 petang esok

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: USJT Bukit Aman siasat laporan tak puas hati siasatan 1MDB

Tindakan ini diambil selepas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang awal minggu ini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan dalam kes 1MDB.

Pada Jumaat lalu, Noorsiah dalam kenyataan mengesahkan USJT Bukit Aman telah memulakan siasatan ke atas laporan polis yang dibuat Charles.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang pada 27 Julai 2022 mengenai isu tidak puas hati terhadap siasatan 1MDB sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Dalam laporan polis yang dilakukan pada Rabu lalu, wakil rakyat DAP itu meminta polis menyiasat Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya sebagai bekas peguam negara untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.

Ahli Parlimen Klang itu berkata, ini terbukti dengan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau mendakwa, Apandi sengaja mereka-reka maklumat dan berbohong semasa memegang jawatan Peguam Negara yang membawa kepada penyalahgunaan kuasanya sebagai penasihat undang-undang utama negara. – MalaysiaGazette