Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah selesai dirakam keterangan oleh polis hari ini dalam siasatan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad mengaitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan perkara itu dalam kenyataan hari ini.

“PDRM mengesahkan bahawa pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman telah selesai mengambil rakaman percakapan Mohamed Apandi.

“Keterangan telah direkodkan daripada Apandi pada 1 Ogos 2022 bermula pukul 2.30 petang hingga jam 3.45 petang tadi,” kata beliau secara ringkas dalam kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: Bukit Aman rakam keterangan Apandi Ali esok

Isu 1MDB: Ahli Parlimen Kuching desak polis siasat Apandi

USJT Bukit Aman siasat laporan tak puas hati siasatan 1MDB

Bagaimanapun, Noorsiah tidak mengulas lanjut mengenai proses pengambilan keterangan membabitkan Apandi termasuk lokasi pertemuan dan rakamannya diadakan hari ini.

Semalam dalam kenyataan ringkas Noorsiah juga mengesahkan Apandi akan dirakam keterangan hari ini pukul  2.30 petang oleh USJT Bukit Aman.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu kira-kira 20 pengamal media pelbagai agensi telah berkumpul di hadapan Bukit Aman untuk melaporkan tentang kehadiran Apandi ke ibu pejabat PDRM itu.

Bagaimanapun sehingga pukul 3 petang tadi, tiada sebarang kelibat atau petanda kemunculan bekas peguam negara itu ke Bukit Aman.

Selain itu sumber polis juga memaklumkan rakaman percakapan dari Apandi tidak dilakukan di Bukit Aman.

Siasatan ini menyusul selepas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang awal minggu ini kerana rasa tidak puas hati dengan siasatan dalam kes 1MDB.

Pada Jumaat lalu, Noorsiah dalam kenyataan awal mengesahkan USJT Bukit Aman telah memulakan siasatan ke atas terhadap laporan polis yang dibuat oleh Charles.

“PDRM mengesahkan  laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Klang pada 27 Julai 2022 mengenai isu tidak puas hati terhadap siasatan 1MDB sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Dalam laporan polis itu pada Rabu lalu, wakil rakyat DAP itu meminta polis menyiasat Apandi Ali atas dakwaan menyalahgunakan kuasanya sebagai bekas peguam negara untuk menutup siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB.

Ahli Parlimen Klang itu berkata, ini terbukti dengan penolakan Mahkamah Tinggi terhadap saman fitnah yang difailkan Apandi terhadap veteran DAP, Lim Kit Siang.

Dakwa beliau, Mohamed Apandi sengaja mereka-reka maklumat dan berbohong semasa memegang jawatan Peguam negara yang membawa kepada penyalahgunaan kuasanya sebagai penasihat undang-undang utama negara. – MalaysiaGazette