Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia semalam.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah menghadapi situasi berkenaan.

“Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Khalid Ibrahim dan mengharapkan seluruh keluarga tabah menghadapi situasi ini.

“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham,” kata beliau sebelum sesi Dewan Rakyat dimulakan.

Abdul Khalid meninggal dunia pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi semua ahli keluarganya.

Allahyarham merupakan bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak daripada 2008 hingga 2018 dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie Berhad daripada 1995 hingga 2003. – MalaysiaGazette