Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki melaungkan azan di sebuah tokong Cina di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Polis mengesahkan lelaki yang melaungkan azan di sebuah tokong Cina di Bukit Mertajam di sini mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya terkesan satu video berdurasi 58 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook Akademi Penyelidikan Agama Dunia pada pukul 2.30 petang.

Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku antara 26 hingga 27 Julai lalu di sebuah premis Pertubuhan Yulan Bukit Mertajam sempena festival sambutan Perayaan Hantu Lapar yang disambut Julai setiap tahun.

“Lelaki yang bertindak melaungkan azan itu merupakan warga tempatan yang berusia lingkungan 40-an dan tinggal di Jalan Kilang Ubi, Bukit Mertajam.

“Hasil keterangan daripada saksi-saksi mengesahkan lelaki itu mempunyai masalah mental dan kurang siuman malah masyarakat sekitar kawasan berkenaan sudah mengenali lelaki terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Cheng San, ini merupakan kejadian kedua yang dilakukannya dan pertama pada tahun 2017.

“Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihati orang ramai supaya tidak menularkan apa-apa perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti dan memecah belahkan kaum serta agama dalam masyarakat di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette