Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba memutarbelit tuduhan beliau menerima RM2.6 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Dr. Mahathir berkata, Najib cuba menyamakan kes dia menerima RM2.6 billion daripada Raja Arab Saudi dengan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh Pengurus Pentadbiran syarikat UKSB, David Tan Siong Sun dalam mahkamah baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu,  tidak seperti kes Najib, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tidak ada bukti dalam bentuk paper trail atau digital footprint.

“Ini berbeza keadaan dengan kenyataan David Tan dari UKSB di dalam mahkamah iaitu duit itu diberi melalui anak saudara saya Tan Sri Rahmat dan bukannya kepada saya.

“Tidak ada bukti duit masuk akaun saya atau saya terima duit itu atau David Tan melihat duit itu diserah pada saya. Yang ada hanyalah kenyataan David Tan yang bersandar pula kepada ledgernya digelar Buku 555,” kata Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir mendakwa, Rahmat telah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara tersebut.

Menurut Dr. Mahathir, Rahmat juga telah menerangkan dia ada menerima wang RM1.3 juta tetapi ia adalah imbuhan untuk jawatannya sebagai pengerusi dan penasihat UKSB.

“Dia telah letak jawatan di UKSB tidak lama kemudian dan serah kembali wang RM1.3 juta. Tan Sri Rahmat juga ada surat dan dokumen berkait dengan apa yang dinyatakannya.

“Memang pun saya tidak pernah terima duit tersebut. Ini sesuatu yang amat mudah difaham dan Najib memang faham. Dia berpura-pura tidak faham kerana dengan itu dia dapat terus bohong dan tipu untuk tutup kesalahannya menyamun wang rakyat.

“Malangnya, dengan berpura-pura bodoh, Najib dapat terus perbodohkan penyokongnya,” kata Dr. Mahathir.

Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 25 Julai lalu diberitahu UKSB menyerahkan sumbangan dana politik RM2.6 juta kepada Dr. Mahathir.

David Tan berkata, pihaknya memberi dana RM1.3 juta kepada bekas Perdana Menteri dan bekas Pengerusi Bersatu itu menerusi dua transaksi pada Ogos dan September 2018, untuk kegunaan parti berkenaan.

Dr Mahathir didakwa menerima sumbangan menerusi anak saudaranya Rahmat. Kod nama ‘Kedahan’ digunakan untuk Rahmat dalam buku lejar UKSB.- MalaysiaGazette