Gambar hiasan

BANGI – Sekumpulan 12 pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) mengumpul dana bagi menawarkan biasiswa kepada calon pelajar ijazah sarjana muda di universiti itu yang kurang berkemampuan.

Kumpulan pelajar yang dikenali sebagai Masterminds berjaya mengumpul dana sebanyak RM23,000 dan 10 buah komputer riba melalui penganjuran program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu Kempen Mengumpul Dana RM1 Seumur Hidup.

Hasil dari kutipan dana tersebut, seorang pelajar akan menerima biasiswa Masterminds dan 10 pelajar lagi akan menerima komputer riba bagi membantu mereka dalam mengikuti pembelajaran harian.

Pelajar-pelajar tersebut merupakan pelajar kurang upaya (OKU) UKM dari kalangan B40.

Projek itu juga telah melayakkan mereka menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBR) sebagai “Largest Donor Participants in a Fundraising Education Campaign” kerana berjaya mengumpul penderma seramai 2,763 orang termasuk 500 orang dari luar negara dalam tempoh sebulan bermula 11 Jun 2022 hingga 10 Julai 2022 dengan jumlah kutipan sebanyak RM23,000.

Kumpulan Masterminds telah memilih seorang pelajar yang kurang berkemampuan untuk menerima Biasiswa Masterminds, seterusnya melanjutkan pengajian di UKM dengan menggunakan biasiswa tersebut.

Hadir sama ke majlis pelacaran penutup program tersebut ialah Timblan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Dr. Lai Wei Sieng; Senior Record Consultant MBOR, Siti Hajar Johor; dan Secretary of Malaysian Association of Science, Engineering & Technology, Khairul Izzat Mustafa.

UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam, bukan sahaja menyediakan pendidikan yang berkualiti, tetapi juga komited dan berperanan aktif untuk menyokong negara dalam memenuhi matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu.

UKM bertanggungjawab bagi membantu para pelajar daripada golongan B40 melanjutkan pelajaran ke menara gading dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendidikan berkualti.

Program CSR itu adalah salah satu program yang disyaratkan oleh UKM-GSB kepada semua pelajar MBA untuk graduasi agar dapat memberikan impak kepada komuniti. – MalaysiaGazette