Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2020. senior judge sexual harassment naked
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang disyaki meragut gelang emas daripada seorang perempuan ketika beliau sedang menunggang motosikal di sebuah kawasan perumahan di Ampang, di sini, semalam ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian 2.15 petang, wanita yang melalui Lorong Pulau Pinang, Taman Melawati itu tiba-tiba dihampiri suspek yang juga menunggang motosikal sebelum meragut barang kemasnya itu dan melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai mengalami kerugian berjumlah RM2,000 dan selamat tanpa sebarang kecederaan dalam insiden ragut itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, sepasukan polis telah melakukan tangkapan ke atas suspek lelaki berumur 30 tahun itu pada pukul 12.30 pagi tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan semasa kejadian ragut itu.

“Selain itu, polis turut menjumpai satu resit pajak gadai dan sejumlah wang tunai disyaki (hasil daripada) gelang emas yang diragut digadaikan.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan ujian air kencing adalah positif dadah jenis methaphetamine.

“Modus operandi suspek adalah mensasarkan mangsa memakai gelang tangan emas menaiki motosikal berseorangan di jalan yang sunyi,” ujarnya.

Menurut Mohamad Farouk, suspek telah direman polis di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun keseksaan iaitu melakukan samun ragut.

Katanya, jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat. – MalaysiaGazette