Suspek hadir ke mahkamah bagi menghadap pertuduhan kes menipu dalam urusan cagaran rumah bagi pinjaman wang yang telah menyebabkan kerugian hampir RM 5 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah syarikat hartanah dituduh di Mahkamah Seksyen, di sini, hari iniĀ  atas tiga pertuduhan menipu dalam urusan cagaran empat unit kediaman bagi tujuan pinjaman wang membabitkan kerugian bernilai RM5 juta, lima tahun lalu.

Tertuduh, Teoh Soon Beng, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwamenipu syarikat wang berlesen iaitu Syarikat Puas Murni Sdn Bhd dengan memberikan pinjaman wang sebanyak RM5 juta kepada tertuduh dengan memasukkan perjanjian wang bertarikh 25 Mei 2017.

Soon Beng didakwamemperdayakan syarikat itu untuk mempercayai bahawa empat harta miliknya, di Jalan Seri Tanjung Pinang 1, Tanjung Tokong, Pulau Pinang akan dijadikan sebagai cagaran sepanjang tempoh perjanjian pinjaman wang berkenaan.

Perbuatan itu dengan curangnya mendorong Syarikat Puas Murni Sdn Bhd untuk memberikan pinjaman bernilai RM5 juta, yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Plaza Riverwalk, Jalan Selvadurai Off, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini antara bulan Mei 2017 hingga September 2019.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Suspek hadir ke mahkamah bagi menghadap pertuduhan kes menipu dalam urusan cagaran rumah bagi pinjaman wang yang telah menyebabkan kerugian hampir RM 5 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 OGOS 2022.

Bagi pertuduhan kedua, Soon Beng didakwa telah diamanahkan dengan penguasaan empat harta kediaman mewah di Jalan Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang yang mana tertuduh telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah dengan menjual harta tersebut.

Perbuatan itu didakwa telah melanggar terma perjanjian pinjaman wang dan perjanjian pinjaman dan penyerahan hak, yang masing-masing bertarikh 25 Mei 2017 yang mana tertuduh telah menandatanginya dengan syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Plaza Riverwalk, Jalan Selvadurai Off, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini antara bulan November 2018 hingga September 2019.

Tertuduh didakwa Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 406 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara selama tidak melebihi lima tahun atau sebat atau dengan kedua duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Soon Beng turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menyalahgunakan empat harta sama yang telah dijadikan sebagai cagaran yang telah ditandatangani dengan syarikat itu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Persiaran Gurney, Pulau Pinang antara Mei 2017 hingga September 2019.

Ia merupakan suatu kesalahan yang didakwa mengikut kesalahan bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd. Jafri mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, S.Raveentharan yang mewakili tertuduh merayu agar tertuduh diberi ikat jamin pada kadar yang lebih munasabah dengan alasan anak guamnya penanggung utama keluarga.

Selepas mendengar permohonan dari kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 21 September depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette