Gavin Newsom. Foto Reuters

LOS ANGELES – Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat cacar monyet dalam usaha mengiatkan vaksinasi bagi memperlahankan penularan wabak yang telah menjangkiti lebih 5,800 rakyat Amerika.

California, negeri paling ramai penduduk di negara itu, telah mengesahkan 827 kes cacar monyet setakat Isnin, jumlah negeri kedua terbesar selepas 1,390 jangkitan disahkan di New York, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS).

Kes pertama cacar monyet di AS telah disahkan di Massachusetts pada 20 Mei lalu dengan kes pertama di California, dijangkiti oleh seorang individu yang telah melancong ke luar negara.

Cacar monyet, yang merebak melalui sentuhan fizikal cenderung menyebabkan simptom seperti selesema dan lesi kulit yang dipenuhi nanah, walaupun ia jarang membawa maut.

Pengisytiharan Newsom dibuat sembilan hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan global, tahap amaran tertinggi agensi itu, berhubung penyakit virus yang merebak dengan pantas.

Kira-kira 70 negara yang mana cacar monyet belum dianggap endemik telah melaporkan wabak, dengan kes global melebihi 22,100, menurut pengiraan Reuters.

Laporan WHO pada 22 Julai berkata, hanya lima kematian cacar monyet telah dilaporkan di seluruh dunia, semuanya di Afrika.

Bulan lalu, pemimpin kesihatan awam California menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan lebih banyak dos vaksin kepada negeri itu secepat mungkin dan 25,000 setakat ini telah diberikan di California.

Gabenor New York, Kathy Hochul pula mengisytiharkan kecemasan cacar monyet minggu lalu di negerinya, yang menyumbang satu daripada empat kes AS yang disahkan setakat ini. – Reuters