mayat kanak-kanak yang dicampak oleh lelaki dewasa warga Myanmar yang turut maut jatuh dari MRR2 Kepong dalam kejadian menyayat hati awal pagi tadi. Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak kritikal manakala dua lagi meninggal dunia dunia serta-merta dicampak oleh lelaki dipercayai bapanya Jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Kepong, awal pagi ini.

Dalam kejadian itu, bapa kanak-kanak itu turut meninggal dunia selepas jatuh dari tempat yang sama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.50 pagi.

“Polis yang telah bergegas ke lokasi kejadian mendapati, tiga orang kanak-kanak dipercayai berbangsa Myanmar terdiri daripada seorang perempuan berumur lapan tahun dan dua kanak-kanak lelaki berumur lingkungan 6 hingga 7 tahun telah dicampak dari atas MRR2 Kepong ke bawah oleh seorang lelaki dewasa berusia 38 tahun juga dipercayai seorang warga Myanmar.

“Kemudian suspek lelaki itu terjun dari atas jambatan MRR2 ke lokasi mangsa ditemui adalah lebih kurang 20 meter,’ katanya dalam kenyataan tengahari tadi.

Tambah Eng Lai, saksi memaklumkan lelaki Myanmar tersebut mengendong seorang kanak-kanak lelaki dan memimpin dua lagi kanak-kanak di tangan kanan dan kirinya.

Saksi telah menghampiri lelaki itu namun secara tiba-tiba lelaki itu mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari jejambat MRR2 ke bawah sebelum dia turun terjun ke bawah.

Kesemua empat mangsa itu telah ditemui di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Taman Desa Jaya.

“Siasatan di tempat penemuan mangsa mendapati seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak Myanmar itu telah meninggal dunia manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera parah di atas rumput di bahu jalan.

“Mangsa ini telah dikejar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan segera memandangkan keadaan mangsa itu sangat kritikal dan sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU),” katanya sambil menambah kanak-kanak itu mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut dan juga keretakan pada rusuk kirinya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Tambahnya, lelaki dewasa dan juga kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia itu mempunyai kad status Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Ibu kanak-kanak malang itu diminta tampil memberi kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan kes tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini juga diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Baldev Singh Gurdia Singh di talian 012-480 6062 atau bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222. – MalaysiaGazette