Pesawat ringan milik BATS Aviation Sdn Bhd terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak semalam.

IPOH – Kecederaan pada tengkuk dan dada merupakan punca kematian jurulatih penerbangan yang maut dalam insiden pesawat terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, punca kematian itu disahkan oleh Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas proses bedah siasat hampir tiga jam hari ini ke atas mangsa.

“Proses bedah siasat itu bermula jam 10.30 pagi hingga 1.15 tengah hari tadi.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan di tengkuk dan dada akibat kemalangan penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Fajim Juffa.

Tambah Mior Faridalathrash, bangkai pesawat ringan itu juga telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.

Media semalam melaporkan pesawat ringan PA28 (9M BAA) milik BATS Aviation Sdn Bhd  terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah mengakibatkan jurulatih penerbangan itu, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, maut di lokasi.

Kejadian sekitar jam 8 malam itu turut menyebabkan rakan jurulatih terbabit Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, mengalami kecederaan parah.

Muhammad Din Fikri yang merupakan ketua jurulatih penerbangan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette