Motosikal yang diubah suai untuk kelajuan paling banyak dikesan dalam Ops Lejang yang dilakukan JPJ Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Motosikal yang diubah suai bagi tujuan kelajuan, lumba haram dan aktiviti rempit antara yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, menerusi Op Lejang semalam.

Selain itu, penunggang bawah umur serta tiada perlindungan insurans turut dikesan dalam operasi yang dijalankan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Perai dan Jalan Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas di sini.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, sebanyak 722 motosikal diperiksa dan 691 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Jelas beliau, hasil semakan pihaknya mendapati tayar motosikal bersaiz kecil atau lebih popular ‘tayar sotong’ antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan pemilik motosikal menerusi operasi terbabit.

Penggunaan tayar sotong yang dikesan menerusi Ops Lejang di beberapa lokasi di Pulau Pinang.

Kata Adenan, tayar itu tidak mematuhi piawaian ditetapkan dan mengundang risiko kepada keselamatan diri dan pengguna jalan raya.

“Kita juga mengesan motosikal yang diubah suai seperti brek belakang yang ditanggal, ‘swing arm’ dan ekzos selain tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran ‘fancy’.

“Pada masa ini JPJ negeri bertindak tegas terhadap pemilik motosikal yang melakukan pengubahsuaian dan motosikal juga boleh disita atas kesalahan itu, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Adenan, pemilik dan penunggang motosikal diingatkan untuk mematuhi peraturan dan undang undang berkuatkuasa serta tidak terbabit dengan aktiviti perlumbaan haram.

Tiada lesen, nombor pendaftaran fancy antara kesalahan lain yang dikesan.

“Aktiviti rempit, menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya merisikokan penunggang sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak-anak mereka kerana kebanyakan remaja tidak mempunyai lesen memandu dan menunggang motosikal secara berkumpulan tanpa mengikut undang-undang,” kata Adenan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast