Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sepatutnya berasa malu apabila bercakap soal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti setelah ia berjaya dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar hairan kenapa Mohd. Shafie tidak menunjukkan rasa segan ketika ditemubual stesen televisyen di hadapan ahli Parlimen DAP dan UMNO.

“Sedarkah Mohd Shafie insiden sejarah gelap pada 2018 apabila Tan Sri Musa Aman berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Siapa watak utama yang memujuk wakil rakyat BN untuk melompat parti sehingga akhirnya Warisan berjaya membentuk Kerajaan Negeri Sabah.

“Lebih mendukacitakan Mohd Shafie berjaya mengheret pihak Istana menyokong usaha yang disifatkan sebagai satu tindakan yang salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen pada Khamis lalu.

RUU itu membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan melalui undian belah bahagian di mana seramai 209 ahli Parlimen bersetuju manakala 11 lagi tidak hadir.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga berharap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor membawa usul sama ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk dibentang dan diluluskan.

“Semua wakil rakyat Warisan dan UPKO sepatutnya berdiam diri kerana mereka sebenarnya telah hilang kredibiliti untuk membahaskan isu ini bagi mengimbau kembali insiden 2018.

“Oleh sebab itu saya berani mengiktiraf dan mengisytiharkan Mohd Shafie sebenarnya adalah bapa kepada lompat parti di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette