Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mengkaji kesesuaian pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, model-model kepenggunaan yang lain juga akan diambil kira sebelum apa-apa keputusan untuk kerajaan berbuat demikian.

“Ini termasuklah kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada tahun 2015.

“Kajian yang dijalankan turut meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap,” kata kementerian itu bagi menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) bertanya adakah kerajaan bercadang untuk melaksanakan semula GST pada tahun ini atau tahun depan.

GST diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebanyak enam peratus pada 1 April 2015.

Ia dikurangkan sehingga kadar sifar peratus bermula 1 Jun 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Kementerian Kewangan berkata, sekiranya cukai itu dilaksanakan semula, ia perlu bersifat lebih mudah ditadbir dan tidak akan meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Dalam menetapkan kadar GST yang bersesuaian, Kerajaan perlu menyeimbangkan di antara keperluan untuk tidak terlalu membebankan rakyat, dengan keperluan Kerajaan untuk mempunyai ruang fiskal yang memadai bagi memastikan kedudukan ekonomi negara terus stabil,” jelas kementerian itu.

Tambah Kementerian Kewangan, kerajaan perlu mengambil kira kadar inflasi semasa yang menggambarkan kenaikan harga barangan pengguna secara umum yang jelas membebani rakyat.

Sementara itu, Kementerian kewangan berkata, peningkatan harga minyak di pasaran dunia dan nilai matawang negara yang tidak menentu telah menyebabkan tanggungan perbelanjaan negara kian meningkat untuk memastikan bantuan yang bersesuaian dapat terus diberikan kepada rakyat.

“Kerajaan memahami bahawa pengenalan sebarang bentuk cukai baharu dalam keadaan ekonomi sedemikian bukan sahaja akan membebankan rakyat, malah berisiko untuk merencatkan momentum pemulihan ekonomi yang sedang berlangsung.

“Untuk itu, pelaksanaan sebarang bentuk cukai kepenggunaan perlu mengambil kira senario semasa,” jawab Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette