Nigel Wong.

GEORGE TOWN – Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) kini dalam peringkat perbincangan dengan beberapa Kementerian berhubung permohonan merombak Akta Tabung Haji 1995, bagi membuka lebih kuota kepada agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menguruskan jemaah haji.

Ia susulan mengikut seksyen 27 dan 34 Akta Tabung Haji 1995 menegaskan bahawa hanya pihak Tabung Haji (TH) sahaja yang diberi kelayakan untuk mengeluarkan lesen haji yang sah kepada semua jemaah haji yang terlibat di mana ianya telah diluluskan oleh pihak Arab Saudi.

Bendahari Kehormat MATTA, Nigel Wong berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa perjumpaan dengan pihak berkaitan bagi membincang isu tersebut namun belum ada sebarang kata putus.

“Isu ini membabitkan beberapa kementerian termasuk TH jadi prosesnya mengambil masa tetapi kita harap permohonan yang diusulkan itu akan mendapat pertimbangan mereka yang berkaitan.

“Kita tekankan isu ini kerana secara tidak langsung kerajaan dapat mengelak umat Islam di negara ini daripada terpedaya dengan sindiket penipuan pelancongan membabitkan umrah dan haji,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perasmian Pulau Pinang sebagai rakan kongsi pertama membabitkan platform MATTA Online di Ozo hotel di sini, hari ini.

Soon Hin (duduk, dua dari kiri) bersama Nigel Wong pada majlis perasmian Pulau Pinang sebagai rakan kongsi pertama membabitkan platform MATTA Online di Ozo Hotel di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin.

Tambah Nigel Wong, umat Islam di negara ini juga harus diberi kesedaran agar membuat tempahan pakej haji dan umrah melalui Pengelola Jemaah Haji (PJH) serta ejen pelancongan yang sah.

“Ini sekaligus memudahkan pihak MATTA untuk mengawal selia serta memberikan bantuan menyeluruh sekiranya terdapat perkara yang tidak diingini berlaku

“Segala usul ini diharapkan dititik berapa kerana kita bimbang penipuan haji dan umrah akan tetap terus berulang jika tiada tindakan tegas diambil oleh penguatkuasa yang bertanggungjawab termasuk dalam melakukan pemantauan berkala secara berterusan,” jelasnya.

Media tempatan pada 13 Julai lalu melaporkan Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang meluahkan rasa bimbang susulan penipuan pakej haji palsu semakin meningkat.

Beliau turut menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi mengelak isu itu berulang.

“Tabung Haji adalah satu-satunya pihak yang mampu mengeluarkan visa haji yang diperakui kepada semua jemaah haji Malaysia kerana ia diluluskan oleh Arab Saudi, mengikut seksyen 27 dan 34 Akta Tabung Haji 1995.

“Kita berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyemak semula Akta Tabung Haji 1995, bagi membenarkan atau menambah lebih kuota haji bagi agensi pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC,” jelas beliau. – MalaysiaGazette