KUALA LUMPUR – Pasaran kerjaya kini bersiap sedia untuk Generasi Z (Gen-Z), yang lahir selepas pertengahan 90-an.

Para penyelidik telah merumuskan gaji lebih tinggi bukanlah faktor paling penting untuk menarik dan mengekalkan kakitangan generasi baharu.

Sebaliknya, rasa tidak puas hati mengenai gaji dan manfaat, dan kemajuan kerjaya terhad telah muncul sebagai faktor utama bagi kadar pemberhentian kerja yang lebih tinggi menurut tinjauan selidik nadi Covid -19 terbaharu kendalian Mercer.

Kajian itu membabitkan lebih daripada 850 majikan di peringkat global.

Menurut tunjauan itu, ramai bakat baharu bakal menyertai tenaga kerja tidak lama lagi disusuli musim konvokesyen yang bermula di kebanyakan institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.

Kumpulan graduan tahun ini membawakan perspektif yang unik kepada pasaran kerjaya setelah menempuh pelbagai rintangan untuk belajar sepanjang musim pandemik.

Graduan Sains Alam Sekitar, Damia Munira Bakhthiar, yakin keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan sangat penting.

”Saya ingin mencari peluang untuk terus belajar dan berkembang maju, justeru majikan pilihan saya ialah organisasi yang menawarkan peluang membina keupayaan bersama pakar-pakar berpengalaman, disokong oleh kemudahan yang sesuai di tempat kerja untuk menggalakkan perkembangan kerjaya saya,” kata graduan University of Nottingham Malaysia (UNM).

Brendan Chew Yiun Cherk, graduan Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Komunikasi Antarabangsa dalam bidang Filem dan Televisyen pula menghargai majikan dan tempat kerja yang mendorong pertumbuhan dan kemajuan kerjaya yang mantap bagi kakitangannya, yang memberi peluang untuk para graduan berkembang maju.

”Ini boleh dilakukan menerusi kursus, peluang membina jaringan, aktiviti bina semangat, program pertukaran dan sesi maklum balas (dengan tindakan yang sesuai), selain ketelusan juga sangat penting,” katanya sambil menambah produktiviti boleh dicapai tanpa perlu menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan jiwa kakitangan secara keseluruhan.

Pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal, Suggensheevan Suthagar menambah, tempat kerja paling sesuai baginya ialah sebuah organisasi yang “menyediakan peluang pembangunan kerjaya, imbuhan dan manfaat yang baik, dan persekitaran kerja yang memberikan sokongan kepada pekerja.

”Selain daripada mengambil kira kos sara hidup semasa, faktor-faktor ini, serta peluang pembangunan kerjaya, semuanya memainkan peranan untuk mendorong dan meningkatkan produktiviti kakitangan,” ujarnya.

Bagi pemegang Ijazah Perhubungan Antarabangsa dengan Bahasa Perancis, Debra Wong pula berharap dapat bekerja dengan majikan yang berhasrat untuk membina hubungan dengan kakitangan, memberikan bimbingan dan juga peluang dan sumber untuk berkembang maju dalam kerjaya.

Menurutnya, dunia pekerjaan kadang kala sukar ditempuhi, justeru dia berharap untuk mempunyai mentor di tempat kerja yang akan membimbing dan membangunkan keupayaan, mengenal pasti kesilapa dan menunjukkan cara yang lebih baik lagi.

Provos Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif UNM, Profesor Sarah Metcalfe percaya universiti berperanan untuk mempersiapkan bakat-bakat muda yang mempunyai pandangan global untuk membina kerjaya yang berdaya saing, menerajui tempat kerja masa depan dan menjana nilai kepada majikan mereka.

Sebagai institusi yang memupuk generasi terbaharu yang bakal memasuki alam kerjaya, UNM mendapati faktor pendorong utama bagi Gen Z ialah keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, bimbingan mentor dan peluang pembangunan profesional.

”Dalam pada itu, saya menasihatkan agar graduan memberikan yang terbaik di tempat kerja, sentiasa bersikap positif dan menunjukkan daya usaha. Bak kata pepatah, ‘usaha tangga kejayaan’. Majikan yang baik diterajui pemimpin yang cemerlang, serta disokong oleh pasukan yang mapan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette