Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Syarikat Penerbangan Malaysia (MAB) dan Persatuan Hentikan Pemerdagangan Orang (SHUT) sempena Persidangan Menentang Pemerdagangan Orang di Akademi MAB, Kelana Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan tanda tanya berhubung perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terjawab dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau sendiri akan bertemu dengan Perdana Menteri esok.

“Insya-Allah, saya akan bertemu dengan PM esok,” katanya ringkas pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penerbangan Membanteras Pemerdagangan Orang di Malaysia Airlines Berhad Academy di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketia Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak; Pengerusi Kumpulan Penerbangan Malaysia, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Kapten Izham Ismail.

Beliau diminta mengulas kekecewaan PN terhadap Ismail Sabri yang dikatakan gagal memenuhi beberapa terma penting dalam perjanjian sebelum ini yang berkaitan dengan sokongan Ahli Parlimen untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, PN melahirkan rasa kecewa dengan Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting terkandung dalam perjanjian di antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN baru-baru ini yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu.

Bagaimanapun, PN menerusi kenyataan yang dibuat oleh Hamzah tidak memperincikan terma-terma penting yang dimaksudkan.

Sehubungan itu, PN memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat, katanya.

Dipercayai, antara terma perjanjian itu termasuk isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pada 2 Julai lalu, Muhyiddin mengesahkan bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan lantikan jawatan baharu termasuk jawatan TPM, selain beberapa perkara penting berlandaskan kandungan perjanjian di antara PN dan Perdana Menteri.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan bagi menggantikan Muhyiddin pada Ogos 2021 mendapat sokongan PN. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dah ada 2 jawatan Menteri Kanan dari PPBM..masih lagi nak jawatan TPM?? Dalam keadaan rakyat tengah perit dgn inflasi korang masih gila kuasa?? Bubarkan jer parlimen laaa…UMNO BN sila tarik balik sokongan kpd kerajaan jika diikutkan tamak haloba geng Midin Pagoh ni…

Comments are closed.