Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media selepas Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri ketika di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan mesej yang tular berhubung insiden melibatkan seorang pegawai Imigresen dengan pegawai tinggi Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, beliau telah memanggil Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian yang berlaku.

Katanya, beliau tidak mahu perkara tersebut dijadikan
sesuatu yang mungkin boleh merosakkan imej sesiapa.

“Saya tahu pasal pegawai imigresen yang ada di situ iaitu James (Lee). Dia adalah seorang yang baik dan selalu bila saya ke airport, jumpa dia saya tengok beliau pegawai yang baik.

“Jadi, kalau berlaku apa-apa saya minta supaya semua bersabar dahulu, tak payah buat kenyataan yang boleh rosakkan imej sesiapa,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri di sini malam ini.

Hamzah memberitahu, siasatan dalaman turut akan dilakukan berhubung perkara tersebut berdasarkan rakaman yang tular dan keputusan mengenainya akan dimaklumkan kemudian.

Ditanya mengenai punca kejadian itu boleh berlaku, Hamzah berkata, setakat ini ia masih belum diketahui.

Bagaimanapun katanya, ada berita-berita yang telah disampaikan kepadanta tetapi beliau mahu perkara itu disiasat terlebih dahulu supaya ia dapat dirungkai dengan jelas.

Terdahulu hari ini, tular satu mesej di aplikasi Whatsapp yang mendakwa Ketua Penolong Penguasa imigresen yang dikenali dengan nama James Lee “ditengking” di khalayak ramai oleh seorang Pegawai Tertinggi Perkhidmatan Awam.

Kejadian dikatakan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi ketika pegawai kanan itu hendak menaiki pesawat ke Vietnam di Bilik Orang Kenamaan di lapangan terbang itu.

Insiden bermula apabila tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA yang semangnya tidak menempatkan pegawai  untuk tempoh 24 jam kerana mereka bertugas di kaunter biasa.

Pegawai hanya akan datang sekiranya ada arahan untuk berbuat demikian.

Mesej itu turut menyebut, sikap pegawai kanan kerajaan yang sombong dan angkuh seperti itu boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang memerintah. – MalaysiaGazette