Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-10 di One World Hotel, Bandar Utama, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah menghantar surat permohonan untuk menjadi salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) pada tiga minggu yang lalu.

Perkara berkenaan, disahkan oleh bakal Presiden parti itu, Datuk Zuraida Kamaruddin, hari ini.

Bagaimanapun,  sehingga kini BN belum menjawab  permohonan parti tersebut.

“Jadi kita masih menunggu jawapan lagi,” beliau berkata ketika sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Ke-10.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang itu memaklumkan akan mengetuai  perbincangan PBM dengan BN untuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas Zuraida mengesahkan menyertai PBM dan diumum sebagai bakal presiden parti itu pada Jun lalu.

 Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan parti yang senada dengan perjuangan BN.-MalaysiaGazette