BUTTERWORTH – Pemegang lesen yang menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual, kilang kelapa sawit dan kilang getah asli di negeri ini berdepan tindakan pembatalan dan penggantungan lesen sekiranya didapati melanggar syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan tegas juga akan diambil khususnya bagi premis memproses buangan terjadual susulan ketidakpatuhan premis boleh membawa pelbagai masalah.
Jelas beliau, ia susulan pembuangan sisa buangan terjadual secara haram bukan sahaja mencemarkan persekitaran malah pembersihan semula kawasan daripada sisa pencemar akan menelan kos yang tinggi.
“Memang berlaku kes pelanggaran syarat dalam pembuangan bahan terjadual di negeri ini namun tidak begitu banyak.
“Sehubungan itu, kita mahu membendung kegiatan tersebut daripada terus menular sekali gus mencemarkan alam sekitar.
“Jadi kita ingatkan kepada pemilik lesen mahupun mereka yang lakukan secara haram agar patuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan pembatalan lesen serta didakwa mengikut Akta Kualiii Alam Sekeliling 1974,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan seminar berkaitan pematuhan syarat-syarat lesen bagi premis-premis yang dilesenkan di bawah JAS bertempat di Hotel Ixora, Perai.
Kata beliau, fokus utama seminar itu adalah memberikan penerangan kepada premis-premis berkaitan pematuhan syarat-syarat lesen yang perlu dipatuhi oleh setiap pemegang lesen yang menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual, kilang kelapa sawit mentah dan kilang getah asli mentah.
Seramai 110 peserta menghadiri seminar tersebut dan mereka terdiri daripada pemilik premis yang berlesen dengan JAS.
Tambah Sharifah Zakiah, mengikut rekod JAS Pulau Pinang, terdapat 53 buah premis yang dilesenkan untuk menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual, manakala dua kilang kelapa sawit serta sebuah kilang getah asli di negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan menguatkuasa premis-premis berlesen yang beroperasi di negeri ini.
“Sekali lagi kita ingin mengingatkan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual perlulah memperoleh lesen terlebih dahulu dan semua permohonan perlu mengemukakan laporan EIA terlebih dahulu.
“Selain itu, bermula tahun ini juga, JAS tidak akan mengeluarkan lesen aktiviti pemerolehan kembali sisa ewaste separa yang baru kerana premis sedia ada sudah mencukupi,” tegasnya. – MalaysiaGazette