Kerajaan Selangor menubuhkan Prasekolah Khas Anis khas untuk murid yang mempunyai masalah pembelajaran termasuklah Autisme, Sindrom Down, Attention Deficits Hyperactive Disorder (ADHD) dan Global Developmental Delay (GDD).- Gambar hiasan,

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor menubuhkan Prasekolah Khas Anis khas untuk murid yang mempunyai masalah pembelajaran termasuklah Autisme, Sindrom Down, Attention Deficits Hyperactive Disorder (ADHD) dan Global Developmental Delay (GDD).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, prasekolah khas yang pertama itu diwujudkan melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis).

Jelas beliau, prasekolah khas berkenaan ditubuhkan untuk memberi peluang dan kemudahan pendidikan bagi murid-murid berkeperluan khas.

“Prasekolah Khas ANIS dibangunkan bertujuan untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan bagi murid-murid berkeperluan khas serta membina penanda aras kepada pengusaha-pengusaha tadika di negeri Selangor dalam menyediakan fasiliti pendidikan bagi murid berkeperluan khas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, prasekolah khas berkenaan telah dibuka untuk pendaftaran bagi murid berumur lima dan enam tahun.

Jelas Siti Mariah, murid prasekolah berkenaan akan mengikuti kelas intervensi awal selama empat hari dan empat jam setiap hari.

“Pada pertengahan dan penghujung sesi persekolahan, para murid akan menerima laporan komprehensif meliputi perkembangan dan prestasi sepanjang menjalani intervensi.

“Antara syarat kelayakan adalah warganegara Malaysia; ibu bapa atau penjaga lahir atau menetap di Selangor selama minimum 10 tahun, merupakan golongan B40 dan M40 dan murid pernah mengikuti Program Intervensi Awal selama minimum setahun,” katanya lagi.

Katanya, ibu bapa boleh membawa anak istimewa menghadiri prasaringan kemasukan Prasekolah Khas Anis di Karnival Pusat Anis pada 6 Ogos bermula di Seksyen 7, Shah Alam.-MalaysiaGazette