Suasana di jeti Kuala Perlis.

ALOR SETAR – Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd gabungan daripada tujuh syarikat feri penumpang terbesar di negara ini mengumumkan kenaikan kadar tambang baharu bagi laluan feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa esok.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi konsortium itu Kapten Dr Baharin Baharom berkata kadar tambang baharu laluan Langkawi-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Langkawi bagi golongan dewasa dan kanak-kanak warganegara meningkat sebanyak RM3 iaitu masing-masing akan berharga RM21 dan RM16.

“Harga tambang baharu bagi dewasa bukan warganegara pula ialah RM27 iaitu meningkat sebanyak RM9 manakala tambang kanak-kanak bukan warganegara pula RM19.50 berbanding RM13 kadar tambang asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata kadar tambang baharu bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi pula adalah RM26.50 bagi golongan dewasa warganegara berbanding RM23 sebelum ini manakala RM20.50 bagi kanak-kanak warganegara iaitu meningkat sebanyak RM3.50.

“Tambang baharu bagi dewasa bukan warganegara pula adalah RM34.50 berbanding RM23 harga asal manakala tambang kanak-kanak bukan warganegara pula ialah RM25.50 iaitu meningkat sebanyak RM8.50 daripada kadar tambang asal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar tambang bagi dewasa, kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang merupakan penduduk pulau itu kekal bagi kedua-dua laluan feri berkenaan.

Ketika ini kadar tambang penduduk dewasa dan kanak-kanak dari Langkawi-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Langkawi adalah RM15 dan RM10 manakala RM10 dan RM13 bagi golongan OKU dan warga emas.

Harga tambang dewasa dan kanak-kanak dari Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi pula pada kadar RM20 dan RM14 manakala OKU dan warga emas masing-masing RM14 dan RM17.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast