Pengusaha, Wan Mohamad Amzar Arsyad menunjukkan produk Nangka O'Bites yang dijual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 OGOS 2022.

SERDANG – Lambakan buah nangka yang tidak terjual ketika pandemik Covid-19 telah mencetuskan idea untuk menghasilkan produk nuget goreng berasaskan buah dinamakan Nangka O’Bites.

Dikeluarkan oleh Bumiputera, produk syarikat UZ Food Berhad itu antara produk unik yang menjadi tumpuan pengunjung di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Pegawai Bahagian Kawalan dan Kualiti Jaminan Makanan UZ Food Berhad, Wan Mohamad Amzar Arsyad berkata, idea untuk menghasilkan nuget berasaskan buah nangka dicetuskan oleh penasihat syarikat tersebut, Chef Johari Edrus yang lebih dikenali menerusi program realiti Masterchef Malaysia.

“Disebabkan lambakan nangka yang tidak hendak dibuat apa, Chef Johari memberi idea penghasilan produk ini pada tahun 2020, sekali gus satu inovasi baharu keluaran syarikat ini.

“Ketika mula-mula dipasarkan, ia belum mendapat sambutan lagi ditambah pandemik Covid-19 pada itu. Justeru, penyertaan di MAHA 2022 ini adalah salah satu langkah untuk mempromosikan produk ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, pada masa ini, Nangka O’Bites dipasarkan di Pasaraya Ahmart@ Zamburger Mart dengan harga RM25 sebungkus.

Manakala, pengunjung boleh membeli dengan harga istimewa iaitu RM16.50 sebungkus sepanjang MAHA 2022 yang berlangsung hingga 14 Ogos ini.

“Produk makanan ini berasaskan buah nangka dan ia disalut tepung. Ia boleh digoreng seperti biasa ataupun menggunakan ‘air fryer’.

“Dengan penyertaan MAHA 2022 kali ini, ia adalah peluang untuk kami mulakan semula promosi Nangka O’Bites dan berharap ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung,” tambahnya. – MalaysiaGazette