Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan diadakan pada 23 hingga 26 November depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tarikh itu ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelas Ahmad Maslan, PAU kali ini tidak akan melibatkan pemilihan jawatan di semua peringkat sama dalam Persidangan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan Bahagian.

“Persidangan UMNO Cawangan akan bermula 15 Ogos hingga 18 September ini manakala Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian pada 7, 8 dan 9 Oktober depan.

“Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan diadakan pada 14, 15 dan 16 Oktober dan Perhimpunan Agung UMNO pada 23 hingga 26 November depan di mana tidak ada pemilihan jawatan semua peringkat pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat MKT di sini, malam ini.

Ahmad menambah, MKT turut membuat ketetapan memperakukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan UMNO yang berkuatkuasa mulai 29 Julai ini.

Ujar beliau, MKT merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan yang diberikan itu.

“Sementara itu, negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh/enakmen negeri masing masing setelah Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan larangan lompat parti selesai digazetkan.

“MKT juga menggesa agar jentera parti di semua peringkat menumpukan kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast