Guru Besar SK Kokol, Ebly Kassim (kiri) menunjukkan cadangan tapak untuk Outdoor Reading Nook.

KOTA KINABALU – Kumpulan Himmel Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih geran Project for Happiness bernilai RM4,000 daripada My Starfish Foundation, di sini baru-baru ini.

Kumpulan yang terdiri daripada 12 pelajar program Sosiologi dan Antropologi (ANSOS) itu berjaya mencuri perhatian dalam program perkongsian idea tentang sebuah projek bertajuk Reading in Paradise.

Pensyarah ANSOS, Ramlah Daud berkata, Reading in Paradise merupakan projek yang bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan (SDG4) dalam kalangan pelajar sekolah rendah di kawasan luar bandar.

”Projek ini akan dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kokol dengan membina ruang khas Outdoor Reading Nook atau sudut bacaan luar untuk kemudahan pelajar menjalankan aktiviti membaca.

”Hal ini berikutan perpustakaan yang sedia ada telah diubah suai menjadi kelas disebabkan pertambahan bilangan pelajar dan ruang fizikal yang terhad untuk aktiviti pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Menurut Ramlah, projek itu tercetus daripada projek Service Learning Malaysia-University for Society (Sulam) bagi Kursus Sosiologi Organisasi Kompleks ANSOS yang dijalankan di SK Kokol pada Semester 2, sesi 2021/2022.

Geran yang diterima daripada My Starfish Foundation ini akan digunakan untuk menjayakan lagi projek Reading in Paradise.

Projek ini juga akan diintegrasikan dengan Sulam bagi memastikan ia terus kekal lestari sekali gus memastikan projek di SK Kokol ini sentiasa berada di bawah pemantauan yang baik memandangkan projek ini ditawarkan pada setiap semester,” ujarnya yang juga penyelaras Kursus Sosiologi Organisasi Kompleks FSSK.

Dalam pada itu, Ramlah turut memaklumkan, selain geran yang diterima, kumpulan Himmel bakal melancarkan kempen pembiayaan dan awam sebagai dana tambahan untuk projek mereka.

Tujuan pengumpulan dana sebagai langkah untuk mendidik pelajar agar tidak bergantung sepenuhnya kepada tajaan tetapi perlu mencari inisiatif sendiri dari pelbagai sumber lain, selain meningkatkan kemahiran insaniah pelajar termasuk kemahiran menyelesaikan masalah dan pembelajaran sepanjang hayat mereka.

”Kita juga mengalu-alukan sumbangan berbentuk buku bacaan yang sesuai dengan umur pelajar-pelajar sekolah rendah,” katanya.

Untuk rekod, orang ramai boleh mengikut projek ini menerusi laman Facebook – https://www.facebook.com/LesenimHimmel/ atau instagram https://www.instagram.com/reading.in.paradise_ MalaysiaGazette