KUALA LUMPUR – Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli hari ini mengaku di Mahkamah Sesyen, di sini, bahawa beliau berbohong kononnya berdepan dengan ancaman daripada orang tengah yang mahukan wang perlindungan.
Wang perlindungan itu didakwa diminta oleh orang tengah yang mempunyai hubungan rapat dengan kepemimpinan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun kata saksi utama perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang itu, beliau terpaksa melakukannya selepas ditahan dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari 2018.
Pada Julai 2018, Zarul yang membuat sidang media berkata beliau ditekan untuk membayar RM22 juta bagi menghentikan siasatan SPRM berhubung projek mega tersebut.
Menurut Zarul, pembohongan itu dilakukannya selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018.
“Saya membuat pendedahan itu selepas disuruh oleh Lim Guan Eng,” katanya yang merupakan saksi ke-23 ketika di soal balas oleh peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.
Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu dan sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.
Guan Eng yang juga Ahli parlimen Bagan juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Pada perbicaraan hari ini, Zarul turut mengaku beliau berbohong kepada umum kerana mahu melindungi segala urusannya dengan Guan Eng selepas disiasat SPRM.
Ketika disoal Gobind, saksi itu mengaku telah berbohong kepada media, rakyat Pulau Pinang, kerajaan negeri dan juga pegawai-pegawai syarikatnya selepas siasatan dilakukan.
Bagaimanapun beliau tidak bersetuju apabila Gobind menuduhnya sebagai pembohong dan seorang yang bersalah, sebaliknya Zarul memberitahum beliau tidak mempunyai peluang untuk menjelaskan kedudukannya.
Pada prosiding lepas, Zarul memberitahu mahkamah bahawa Guan Eng telah mengarahkannya untuk memberi kenyataan kepada media pada Januari 2018 selepas dibebaskan daripada tahanan reman selama 11 hari oleh SPRM.
“Ketika itu saya telah terima arahan daripada YB untuk memberitahu bayangkan diri saya telah dipaksa beri kenyataan kepada SPRM ketika siasatan,” ujarnya.
Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette