PETALING JAYA – Dua remaja mendedahkan mereka menjadi mangsa kepada scammer luar negara yang menjanjikan peluang pekerjaan di sebuah kasino di Sianok, Kemboja.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sin Chon Siang, mangsa yang berasal dari Perak dan Sarawak mendakwa mereka diperlakukan seperti binatang selama tujuh bulan sejak Januari lalu.

“Selama mereka berada di sana (Kemboja) mereka dipukul dan didera serta diajar untuk menjadi seorang scammer. Mereka dijual berulang kali oleh kumpulan sindiket yang berlainan atas alasan mereka tidak dapat menjalankan kerja-kerja scammer,” kata Chin Siang dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Chon Siang berkata, kedua-dua mereka diselamatkannya melalui Thailand.

Jelas beliau, kedua-dua mereka akan digari tidak diberikan makan malah tidak dibenarkan tidur jika tidak berjaya mendapatkan mangsa.

“Mereka juga didera dengan memasukkan cili potong ke dalam punggung  mereka sebagai salah satu hukuman. Itu cara sindiket disana mendera mereka,” kataya lagi.

Dua remaja yang terkandas serta didera di Kemboja telah diselamatkan dan telah kembali ke Malaysia pada sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2022.

Salah seorang daripada mereka pernah diselamatkan polis Kemboja dan dalam tahanan polis, sindiket berkenaan didapati menjualnya kepada enam sindiket berbeza dengan harga terakhir UDS28,000 seorang.

“Mereka dibawa melalui Bangkok menerusi KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) kemudian mereka dibawa ke tempat yang dirahsiakan dan dilarang untuk meninggalkan kawasan terbabit.

ADUN Teruntum, Sim Chon Siang bercakap kepada media mengenai isu 2 budak terkandas serta didera di Kemboja telah diselamatkan dan telah kembali ke Malaysia ketika di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2022.

“Tempat itu dikawal ketat oleh pengawal keselamatan Kemboja dan mempunyai perenjat elektrik malah ada dua individu bertindak membunuh diri kerana tidak tahan didera setiap hari,” terjemah Chin Siang yang berkata mereka mendakwa mendapat peluang pekerjaan menerusi Facebook.

Ditanya bagaimana kedua-dua mereka boleh mendapatkan pertolongan daripada Chon Siang, beliau berkata, kedua-dua mereka ada menghubungi dirinya menggunakan telefon sindiket berkenaan.

Ketika mereka dibawa untuk memasuki Myanmar menerusi Thailand, kedua-dua mereka telah ditahan oleh pihak imigresen negara berkenaan.

“Mereka telefon saya selepas lari daripada depoh tahanan di Bangkok, saya arahkan mereka pergi ke sebuah hotel di Bangkok kemudian saya terbang ke sana dan berjumpa mereka.

“Semalam kita berjaya bawa mereka balik ke Malaysia,” katanya lagi.

Tambah Chin Siang, lebih 100 rakyat negara ini masih berada di Kemboja dan diperlakukan seperti hamba abdi dengan didera setiap hari. – MalaysiaGazette