Seorang penjawat awam dibawa oleh SPRM ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi untuk proses reman kerana didakwa meminta duit kopi sebagai dorongan tidak mengambil tindakan kerana lesen binaan tamat tempoh.- Gambar iIhsan SPRM Selangor.

SHAH ALAM – Seorang pembantu operasi telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek penjawat awam berusia 41 tahun itu direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta ‘duit kopi’ daripada seorang individu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan kompaun terhadapnya.

Kata sumber, penjawat awam itu meminta suapan sebanyak RM2,000 daripada individu tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengenakan kompaun atas kesalahan lesen pembinaan telah tamat tempoh.

“Majistret Sasha Diani Sabtu telah membenarkan reman selama empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin depan ke atas suspek untuk siasatan lanjut SPRM.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” menurut sumber tersebut dalam kenyataan pada hari ini.

Semalam, seorang pembantu operasi kerajaan telah ditahan oleh SPRM Selangor kerana disyaki meminta suapan dari satu individu melalui panggilan telefon.

Difahamkan, suspek telah ditahan di semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri Selangor sekitar pukul 2 petang.- MalaysiaGazette