KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai berwaspada dan jika telah menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada ID Penghantar ‘GOV’ yang kini tular di media sosial.
Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata, SMS penipuan itu menggunakan nama organisasi MySejahtera yang memberitahu pengguna bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch N Go (TNG) eWallet mereka.
“Namun siasatan terperinci SKMM mendapati bahawa terdapat penyalahgunaan ID penghantar ‘GOV’ di mana pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID penghantar ini untuk tujuan penipuan,” kata menerusi kenyataan hari ini.
Tambah SKMM, hebahan SMS melalui ID Penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat Pesanan Khidmat Awam (PKA) berkenaan inisiatif-inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.
Kata suruhanjaya itu lagi, peringatan berkenaan dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai.
“Polis juga telah menggesa orang ramai supaya berwaspada dengan taktik serta modus operandi penipuan dan tindakan sekatan telah beerjaya diambil oleh SKMM ke atas akses pautan palsu tersebut.
“Orang ramai pada masa yang sama telah diminta sentiasa berhati-hati dan menyemak sebarang kandungan SMS yang disyaki palsu dengan cara menghubungi organisasi terlibat.
“Ini adalah bagi mengelak anda daripada menjadi mangsa kepada aktiviti berunsur penipuan. Individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” tegasnya. – MalaysiaGazette