Norena (kiri) menunjukkan tangki sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram melibatkan anggaran rampasan bernilai lebih RM186,000 di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menyita sebuah premis  dipercayai menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram melibatkan anggaran rampasan bernilai lebih RM186,000.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap premis di Kawasan Perindustrian Krubong dibuat pukul 2 petang semalam itu turut  menahan lima pekerja premis berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan, lima pekerja lelaki termasuk dua pekerja warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an sedang leka memindahkan minyak diesel bersubsidi ke dalam tangki utama simpanan di stor berkenaan.

“Modus operandi digunakan, pekerja ini akan bergerak menggunakan lori satu atau tiga tan yang membawa tangki khas berkapasiti 1,000 liter yang ditutup menggunakan kanvas di stesen-stesen minyak sekitar Melaka.

“Tangki itu kemudian akan diisi minyak diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter sehingga RM300 atau RM500 sebelum ia dijual pada pelanggan mereka pada harga lebih RM4 seliter berbanding harga industri RM5.15 seliter membolehkan mereka mengaut keuntungan mudah lebih RM2 seliter,” katanya pada sidang media dilokasi serbuan di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini hari ini.

Norena Jaafar

Mengulas lanjut, Norena berkata, dalam serbuan itu, KPDNHEP menyita 12,000 liter diesel bernilai RM25,800, sebuah lori tangki berkapasiti 10,000 liter, dua tangki simpanan minyak kapasiti 40,000 liter, 20 buah tangki tambahan kapasti 20,000 liter keseluruhannya bernilai lebih RM186,000.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku baru beroperasi kira-kira tiga bulan lalu namun hasil risikan sejak dua minggu, kita percaya mereka aktif lima ke enam bulan lalu berdasarkan keadaan premis yang mempunyai banyak kemudahan.

“KPDNHEP Melaka ingin beri amaran tegas kepada pihak industri agar tidak membeli diesel secara haram kerana kami tahu siapa mereka dan hanya menunggu masa untuk diserbu,” tegasnya.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan orang perseorangan.

Bagi syarikat atau pertubuhan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan pertama atau sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast