ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat ke final Piala FA selepas berpesta gol membenam Penang FC 6-1, pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Harimau Selatan menguasai perlawanan sebaik wisel dibunyikan dengan pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi menjaringkan hatrik, melengkapkan malam bermakna buat skuad kendalian Hector Pablo Bidoglio itu.
Pemain sensasi dari Brazil, Bergson Da Silva membuka tirai jaringan seawal minit ke-19, sebelum Fernando Martin Forestieri menambah jaringan lima minit kemudian selepas menerima tandukan daripada Shane Thomas Lowry.
Pada babak kedua, hanya tiga minit selepas permainan bersambung, Arif Aiman dengan mudah menyempurnakan hantaran jauh Forestieri pada minit ke-48, sebelum sekali lagi menjaringkan gol tiga minit kemudian.
Anak buah Datuk Zainal Abidin Hassan yang agak lambat menemui rentak permainan, berjaya membolosi gawang JDT pada minit ke-54 menerusi Lucas Espindola Da Silva selepas menerima hantaran Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra.
Namun, kegembiraan Penang FC tidak bertahan lama apabila Arif Aiman sekali lagi meledakkan gol pada minit ke-61, selepas bijak membolosi pertahanan.
Rembatan padu Muhamad Syahmi Safari pada minit akhir perlawanan menutup tirai jaringan untuk keputusan 6-1 sehingga tiupan wisel penamat.
Lawan JDT pada perlawanan akhir nanti adalah antara Terengganu FC dan Selangor FC, yang akan bertemu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam esok. – Bernama