Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika membuat lawatan ke tapak pemasangan pagar DBKL di padang Merbok yang tidak dipersetujui oleh orang awam di Padang Merbok Jalan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Dua ahli Parlimen pembangkang melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memasang pagar bersifat kekal di sekeliling Padang Merbok di sini baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, perbuatan memasang pagar kekal  tidak masuk akal kerana ia merupakan fasiliti awam

Malah beliau berkata, projek ini tidak langsung diberitahu kepada pejabatnya selaku wakil rakyat.

“Adakah ini reaksi kerajaan selepas protes yang dibuat oleh para peguam untuk berjalan dari sini ke Parlimen, adakah disebabkan oleh protes ini yang berlaku pada Jun lalu, DBKL memberikan respon dengan meletakkan pagar kekal sebegini,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di sekitar Padang Merbok hari ini.

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Untuk rekod, Padang Merbok sering digunakan oleh individu, parti politik mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sering digunakan untuk membuat himpunan atau protes.

Jelas Hannah, ia dibangkitkan oleh seorang pengguna yang selalu menggunakan padang berkenaan di Twitter.

Malah perkara itu turut dipanjangkan ke Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi timbalannya, Datuk Jamaluddin Alias.

“Timbalan menteri telah menjawab pada 2 Ogos di mana beliau berkata, DBKL sedang menaik taraf Padang Merbok dan pihak kontraktor terpaksa menutup dan memasang pagar untuk kerja naik taraf.

“Apabila saya datang hari ini, pagar ini tidak seperti untuk naik taraf tapi ini lebih kepada selama-lamanya ada di sini. Jadi saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku kerana di ibu negara cuma ada padanya ini dan Dataran Merdeka.

“Bila ada pagar seperti ini, seolah-olah kita bagi mesej, bukan semua orang boleh guna,” katanya.

Sebahagian orang awam yang pemasangan pagar DBKL di padang Merbok yang tidak dipersetujui oleh orang awam di Padang Merbok Jalan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 OGOS 2022.

Fahmi berkata, tindakan itu langsung tidak kena kerana padang ini adalah hak milik warga ibu kota dan perkara itu jelas menghalang masyarakat untuk menggunakan padang tersebut.

“Kalau pagar ini adalah pagar kekal, banyak aktiviti rekreasi akan terganggu. Kita tak halang kalau sekadar untuk naik taraf padang kerana ia perlu tapi pagar ini tidak perlu kerana melibatkan kos yang tinggi.

“Kami mohon timbalan menteri beri penjelasan berapa kos yang telah dikeluarkan untuk memasang pagar semenara seperti yang didakwa,” katanya dalam sidang media sama.

Menurut notis pemberitahuan itu, DBKL memberitahu, kerja-kerja memasang pintu pagar, perimeter anti panjat dan menaik taraf lanskap lembut di Padang Merbok.

Kerja-kerja itu dibuat pada 21 April dan siap pada 30 Jun lalu.

Shahidfulllah Azizan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 OGOS 2022.

Dalam pada itu, seorang pemain ragbi, Shahidfullah Azizan, 35, kecewa dengan tindakan DBKL.

Jelasnya, Padang Merbok adalah kawasan yang sering diadakan permainan ragbi malah masyarakat sekitar ibu negara sering mengunakannya sebagai tempat riadah.

“Sebelum ini, pihak DBKL letak pita sahaja untuk proses naik taraf padang dan ia dibuka semula tapi beberapa minggu lepas itu sudah ada pagar kekal.

“Ini padang awam, mana lagi warga kota nak beriadah sebab taman dan padang awam terhad.  Ramai warga kota yang merungut.

“Mana lagi kami sebagai pemain rugbi nak main?” soalnya.

Justeru itu, beliau merayu agar pagar berkenaan dirobohkan kerana padang adalah hak milik awam kerana ia mengehadkan penggunaan.

“Kita kekurangan padang awam, padang ini sahaja yang ada untuk kami beriadah dengan keluarga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette