najib
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkaitan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau berkata, semasa menjadi kerajaan pada 2018, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya pada 2019.

Menurut Najib, projek berkenaan masih berjalan semasa pemerintaan Barisan Nasional dan kapal pertama sepatutnya  diserahkan pada 2019.

“Pandemik pula menimpa pada tahun 2020 dan 2021. Akhirnya projek baharu dipersetujui untuk disambung pada bulan April 2022. Jadi, bagaimana pula kapal-kapal boleh siap?

“PH lewatkan projek pada tahun 2018, bekukan projek pada tahun 2019, lalu tanya kenapa tiada sebarang kapal diserahkan pada tahun 2022?

“Projek ini bukan tidak pernah disiasat. Ianya disiasat oleh jawatankuasa ditubuhkan PH pada tahun 2018. Boustead juga membuat laporan SPRM pada bulan Disember 2020 untuk menyiasat projek ini,” kata Najib.

Beliau berkata demikian apabila terdapat pihak cuba menunding jari terhadapnya berkaitan kegagalan projek itu menyiapkan LCS.

Najib juga menegaskan, beliau tidak pernah dipanggil oleh Pengerusi Jawatan kuasa kira-kira (PAC), Wong Kah Woh ketika itu untuk memberi penjelasan dalam berhubung isu itu mesyuarat yang diadakan.

“Sejurus selepas PRU-14, pengerusi LTAT, pengerusi serta bos Boustead dan Panglima Tentera turut ditukar kerajaan PH. Projek juga telah diperlambatkan oleh siasatan yang dilancarkan oleh kerajaan PH lalu projek dibeku pada tahun 2019.

“Masa projek dibeku pada tahun 2019, Menteri Pertahanan, Mat Sabu kata, kemajuan projek LCS cuma pada tahap 60 peratus dan bukan 78 peratus mengikut kontrak.

“Mat Sabu pula kata bahawa kerajaan PH pernah berhasrat untuk meneruskan projek LCS setelah mereka membekunya tetapi tidak sempat sebab kerajaan PH tumbang,” katanya.

Najib berkata, beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa projek diluluskan namun tidak terlibat dalam pemilihan dan keputusan kerana ia dibuat oleh Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, projek berkenaan telah diberikan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angatan Tentera (LTAT).

Tambah Najib, pada masa kontark diberikan pengerusi BNS merupakan seorang bekas panglima tentera laut.

“Ianya diberi kepada LTAT supaya kepakaran tempatan untuk membina kapal perang dapat dibina dan juga untuk mengelakkan masalah projek kapal OPV terdahulu yang diberi kepada syarikat swasta PSC Naval Dockyard bernilai sehingga RM30 bilion diberi masa PM4 yang akhirnya terpaksa di bail-out kerajaan.

“Pada setiap masa, projek LCS ini adalah bawah kawalan Boustead, LTAT atau TLDM – bukan di bawah kroni atau pihak swasta.

“Pada tahun 2017, Boustead turut diberi kontrak untuk membina 4 buah kapal Littoral Mission Ships (LMS) kelas Keris bersama syarikat China yang berjaya diselesaikan dan diserahkan kepada Tentera Laut.

“Keuntungan daripada projek-projek tersebut akhirnya mengalir kepada LTAT iaitu tabung veteran anggota tentera,” kata Najib.

Beliau mendakwa terdapat fakta yang tidak tepat atau tidak  dalam kenyataan Wong yang merupakan Ketua Pemuda DAP dan dalam laporan media.

Menurut Najib, kontrak projek LCS ditandatangan pada 17 Julai 2014 dan kapal pertama perlu disiapkan pada April 2019.

Beliau menyangah kenyataan Wong bahawa projek itu diberi pada 2011 dan kapal pertama perlu diserahkan pada tahun 2017.

Najib menegaskan, jalan penyelesaian terbaik isu itu ialah menilai semula dan mengawal kos serta kemajuan projek dengan lagi teliti agar kapal dapat dibina dan diserahkan sempenuhnya.

Ia juga perlu diteruskan agar kepakaran tetap berada dalam industri tempatan supaya kapal-kapal seterusnya akan mampu dibina dengan lebih cekap dan kos penyelenggaraan adalah lebih rendah.

Najib tidak menyokong cadangan projek itu dihentikan sekaligus dijadikan modal Pilihan Raya Umum ke-15 oleh PH.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siasat ketirisan projek LCS, heret pihak terbabit ke muka pengadilan – TLDM

1 Komen

Comments are closed.