Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Tiket perlawanan separuh akhir Piala FA membabitkan Terengganu FC (TFC) menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam ini habis dijual.

Perkembangan itu diumumkan di laman Facebook TFC sebentar tadi.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, sejumlah 12,000 keping tiket termasuk 2,000 tiket kanak-kanak dijual secara fizikal di stadium bermula pukul 10 pagi tadi.

“Kaunter tiket mula dibuka pada jam 10 pukul tadi dengan 12,000 keping tiket termasuk 2,000 tiket kanak-kanak di jual di kaunter stadium. Pada pukul 12.30 tengah hari, jualan tiket berkenaan habis dengan setiap seorang dihadkan pembelian sebanyak empat keping tiket sahaja.

“Terdahulu kita sudah menjual sebanyak 16,500 keping tiket secara dalam talian dengan jumlah keseluruhan 30,000 keping tiket termasuk jualan secara fizikal.

“Pesanan saya kepada semua peminat supaya datang awal ke stadium untuk mengelak kesesakan kerana pintu akan dibuka mulai jam 6 petang, juga turut diingatkan peminat agar mengamalkan disiplin yang tinggi ketika berada di dalam dan luar stadium,” katanya.

Pemenang antara TFC dan Selangor akan bertemu Johor Darul Ta’zim yang membelasah Penang FC 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru malam tadi. – MalaysiaGazette