KUALA LUMPUR – PKR melantik Ketua Cabang Keningau, Datuk Dr Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bersama semua ketua cabang parti itu hari ini.
“Kesemua ketua cabang di Sabah sebulat suara bersetuju dengan pelantikan Ketua Cabang Keningau, Datuk Dr Sangkar Rasam sebagai Pengerusi MPN Sabah bagi penggal 2022-2025.
“Sangkar akan menjalankan tugas dalam satu pasukan bersama Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari dan Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Datuk Christina Liew,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar hari ini mengadakan lawatan ke Sabah bagi memuktamadkan pelantikan pengerusi MPN negeri itu.
Sebelum ini, Sangkar mengetuai 16 pemimpin PKR negeri itu mendesak agar pengerusi MPN PKR ketika itu, Christina Liew digugurkan. – MalaysiaGazette