ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis menahan reman seorang suspek lelaki tempatan yang didakwa merupakan ahli sayap pemuda parti politik dalam kes kejadian seorang lelakiĀ  dicederakan dengan pisau di Jalan Ipoh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 36 tahun itu telah direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kita telah menghadapkan suspek di hadapan majistret di Lokap Balai Polis Jinjang, Kepong.

“Polis dibenarkan menahan reman suspek selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Ogos ini (Isnin) untuk membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki toreh tangan mangsa guna pisau gara-gara laporan SPRM

Presiden MIC tak kompromi jika ahli terlibat kes jenayah

Katanya, perintah reman diperolehi di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata tajam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Dalam kenyataan awal pagi hari ini, Eng Lai mengesahkan polis telah menerima laporan mengenai kejadian seorang lelaki warga tempatan telah ditoreh di tangan kiri dengan menggunakan sebilah pisau semasa berada di hadapan sebuah kedai Jolly Hair Salon di Batu 5 Jalan Ipoh di sini Jumaat lalu.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa yang berumur 42 tahun telah berselisih faham dengan seorang lelaki warga tempatan yang dikenalinya.

“Punca kejadian adalah disebabkan suspek yang tidak berpuas hati dengan aduan SPRM berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.

“Semasa pertelingkahan di tempat kejadian suspek bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau sebelum mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter dan perlu menjalani pembedahan.

“Bertindak atas siasatan, pada hari sama kejadian jam lebih kurang 11.50 malam pihak polis telah berjaya menangkap suspek di perkarangan IPD Sentul.

“Suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau.

Terdahulu, satu video rakaman Tiktok berdurasi enam saat yang tular di media sosial sejak malam tadi memaparkan suspekĀ  berbaju kemeja berkolar dan berseluar pendek menyerang mangsa dan mengeluarkan amaran sebelum lari dari tempat kejadian itu. – MalaysiaGazette