Gambar media sosial

KOTA KINABALU – Tiga beranak maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian kira-kira 11.24 malam itu meragut nyawa seorang lelaki berusia 44 tahun iaitu pemandu kenderaan berkenaan.

“Dua lagi yang maut adalah anak lelaki pemandu terbabit dikenali Alkail, 16, serta anak perempuannya yang dikenali sebagai Sazfa berusia 11 tahun…bagaimanapun kita belum dapat mengenal pasti identiti pemandu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai ahli keluarga mangsa mengalami cedera parah dan kini dirawat di hospital.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Angkasa Apartment, Rampayan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu melalui Jalan Lintas.

“Apabila sampai di Jalan Lintas selepas melalui jalan berdekatan simpang Klinik Luyang, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebuah tiang besar jejambat berdekatan.

“Akibat perlanggaran tersebut, dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan, manakala pemandu dan anak lelakinya tersepit di dalam kenderaan. Ketiga-tiga anak beranak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan,” katanya.

Zaidi berkata hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan terbabas sendiri dan keadaan jalan ketika itu adalah licin akibat hujan.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast