KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen di di Kompleks Wilayah, di sini, sejak tiga minggu lalu menerima padah apabila diserbu polis awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam serbuan jam 3.30 pagi itu seramai 23 orang ditahan.
Ia terdiri daripada seorang pengurus premis, dua pekerja lelaki warga asing, empat penari perempuan warga asing dan 16 pengunjung warga asing yang berusia antara 21 hingga 54 tahun, jelasnya.
Tambah beliau, dalam serbuan itu polis merampas sebuah pembesar suara, satu resit perniagaan, empat kad perakam kerja, dua mikrofon, dua alat komunikasi mudah alih, satu set pengadun muzik, dua pembesar muzik, satu komputer riba, tujuh botol minuman keras dan wang tunai RM540.
“Kesemua suspek telah direman selama dua hari mulai hari ini hingga Isnin untuk membantu siasatan lanjut polis.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Noor Dellhan Yahaya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette