Para pelajar Pelajar bertolak ke kolej kediaman dengan bas yang disediakan.

KUALA LUMPUR – Hampir 2,000 pelajar peringkat asasi sesi 2022/2023, yang merangkumi program-program pengajian Asasi Sains aliran Hayat/Fizikal, Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS), Asasi Pengajian Islam, Program Khas Bahasa Arab dan Rancangan Persediaan ke Jepun (RPKJ) mula mendaftar secara fizikal di Universiti Malaya.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Sabri Musa, pendaftaran telah bermula semalam dan juga hari ini dan pelajar-pelajar ini ditempatkan di tiga kolej kediaman di Universiti Malaya.

”Pihak Universiti telah membuat persiapan rapi dari semua aspek bagi persediaan kelas secara fizikal. Buat pertama kalinya juga untuk sesi kali ini Universiti menerima pelajar Asasi melalui program Saluran Terbuka UM (SATU) aliran Hayat, Fizikal dan Pengajian Islam yang terbuka kepada warganegara Malaysia berstatus Bumiputera dan memenuhi syarat-syarat kemasukan.

”Pihak MARA juga pada sesi ini berbesar hati menaja pelajar cemerlang SPM menerusi Young Talent Programme (YTP) yang ditawarkan kepada 120 orang pelajar untuk melanjutkan pengajian peringkat asasi di UM,” katanya.

Sabri juga berharap pelajar yang telah kembali ke kolej kediaman terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19 di kampus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Universiti Malaya Week of Welcome (UM-WOW) 2022/2023 dan juga Timbalan Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya, Dr. Iskandar Abdullah berkata, Minggu Suai Kenal Pelajar (MSKP) akan bermula Isnin hingga Rabu ini.

Para pelajar akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Tunku Canselor bagi perkara-perkara berkaitan akademik, kebajikan, dan urusan hal ehwal pelajar yang lainnya. Mereka juga akan dibawa melawat ke bilik kuliah dan kawasan lain sekitar kampus.

”Pendaftaran hari ini melibatkan beberapa check point, iaitu proses saringan kesihatan, dan pendaftaran kolej kediaman, sebelum menaiki bas ke kolej kediaman.

”Ibu bapa juga tidak perlu risau, kerana pihak Universiti telah menyediakan penginapan, makan minum di sepanjang MSKP, dan memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar terjaga,” katanya. – MalaysiaGazette