KOTA KINABALU – Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau, hari ini.
Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang berusia 51 tahun ditemukan malim gunung di KM 3.2 gunung berkenaan.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menerima panggilan kecemasan pada 1.23 tengah hari lalu 12 pegawai dan anggota digegaskan ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Lelaki itu diberikan bantuan pernafasan menerusi tindakan awal oleh pasukan MOSAR, anggota Taman-Taman Sabah dan malim gunung sebelum dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada 4.30 petang,” menurut kenyataan itu. – Bernama