Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyenaraikan aset-aset negara yang dijual oleh Pakatan Harapan bagi membuktikan dakwaannya yang cuba dinafikan oleh Rafizi Ramli.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, IHH Berhad telah dijual oleh Khazanah kepada Jepun iaitu Mitsui & Co Ltd dengan nilai RM8.41 bilion pada November 2018.

Selain itu, saham CIMB sebanyak RM364 juta telah dijual oleh Khazanah pada Disember 2018; Axiata Group melalui anak syarikatnya, Axiata Investments Limited telah menjual keseluruhan kepentingan Axiata dalam M1 Limited (M1) kepada Konnectivity Pte Ltd (Konnectivity) Singapura dengan nilai sebesar RM1.65 bilion pada Februari 2019.

Saham Bank Filipina BDO Unibank telah dijual oleh Khazanah kepada Filipina dengan nilai RM415 juta pada Februari 2019

Begitu juga penjualan 50% kepentingan dalam syarikat Sapura Upstream Sdn Bhd yang dimilik 40% oleh PNB kepada syarikat OMV dari Austria yang bernilai RM3.7 bilion pada Februari 2019.

Kementerian Kewangan (MoF) juga mengumumkan mahu menjual tanah dan bangunan Pejabat Konsulat Malaysia di Hong Kong setinggi 28 tingkat kepada syarikat China Kumpulan Evergrande China dengan harga RM1.6 bilion.

Manakala Boustead milik LTAT telah menjual Hotel Royale Chulan kepada Singapura dengan nilai sebanyak RM197 juta pada Februari 2019.

Saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dijual oleh Khazanah dengan nilai sebesar RM1.05 bilion pada April 2019 dan DRB-Hicom telah menjual sebanyak 48% daripada kepentingan MODENAS kepada Kawasaki Jepun dengan anggaran sekitar RM175 juta pada April 2019.

Axiata milik Khazanah pula telah menjual portfolio usaha niaga digitalnya dengan nilai AS$140 juta (RM579 juta) kepada dana pelaburan berpangkalan di Singapura, Pegasus 7 Ventures Pte Ltd (Pegasus 7) pada April 2019 dan sebahagian daripada Projek Bandar Malaysia telah dijual oleh Kementerian Kewangan kepada syarikat Malaysia-China pada nilai RM7.41 bilion pada April 2019.

Najib menambah, FGV Holdings Bhd (FGV) menjual keseluruhan pegangan ekuitinya dalam FGV China Oils Ltd (FGVCO) kepada Grand Industrial Holdings Co Ltd (GIH) pada harga sekitar RM100 juta pada Julai 2019 manakala hartanah DUO pula telah dijual kepada Singapura dengan nilai RM4.73 bilion melalui M+S Pte Ltd yang memiliki pegangan Khazanah pada Julai 2019.

Kepentingan saham Khazanah dalam syarikat elektrik Desaru Investments (Cayman Isl.) Lte (DIL) Arab Saudi telah dijual kepada Malakoff dengan nilai RM289 juta pada Julai 2019 dan saham Khazanah dalam CIMB juga telah dijual dengan cara pajakan kepentingan 3.45% Bank CIMB sebanyak RM2 bilion pada Julai 2019.

Menurutnya lagi, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) juga telah dijual oleh Khazanah kepada IHH yang kini menjadi milik asing iaitu Jepun dengan nilai RM1.02 bilion pada September 2019 dan Khazanah jual semua 55% pegangan dalam lebuhraya tol Jakarta yang antara terpanjang di Indonesia kepada Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB) dan PT Baskhara Utama Sedaya (BUS) dengan RM2.1 bilion pada September 2019.

TH Plantations turut umum rancangan penjualan secara lambak ladang-ladang THP seluas 76,957 hektar atau bersamaan 76.2% dari keseluruhan tanah perladangan berjumlah 101,019 hektar.

Penjualan aset-aset itu katanya, belum termasuk lagi hotel-hotel Tabung Haji dan aset-aset lain yang dijual.

”Saya fitnah PH jual aset negara? Adakah senarai penjualan aset negara ini fitnah ke?,” tempelak Najib lagi.

Lantaran itu, Najib mendakwa tuduhan Rafizi Ramli yang mendakwa pertahanan negara lemah ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan PH tidak jual aset negara sebagai kelakar.

Pada masa sama, Najib mempersoalkan apa yang PH buat untuk perkuatkan pertahanan negara semasa mereka memerintah.

Berapa banyak aset dan jumlah anggota pertahanan yang telah ditambah ataupun dikurangkan, soalnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa Rafizi adalah individu yang membuat fitnah apabila pernah menuduh Tabung Haji (TH) bankrap lalu menyebabkan ramai pendeposit mengeluarkan duit.

Jelas Najib, fitnah Rafizi itu untuk melemah TH dan mengakibatkan pendeposit TH hilang tempat untuk menunaikan haji.

Bagaimanapun, katanya, Rafizi yang didapati bersalah kerana memfitnah TH tetapi kesnya ditarik balik dan digugurkan oleh Tan Sri Tommy Thomas.

”Amat berdosa sekali menjadi punca mereka yang telah tunggu bertahun-tahun untuk hilang tempat tunaikan ibadah haji. Lalu dia didapati bersalah dari segi prima facie memfitnah TH dan diarahkan untuk bela diri tetapi kesnya ditarik balik dan digugurkan oleh Tommy Thomas.

”Kes TH itu benar-benar fitnah,” ujar Najib.

Bekas Perdana Menteri itu turut mencabar Rafizi yang digelar Raja Formula songsang supaya membuat lapan polis berhubung perkara di bawah.

Perkara tersebut ialah:
1. Nilai Ringgit Malaysia tak pernah memulih sekali pun ke tahap sebelum PRU14.
2. Indeks Bursa Malaysia tak pernah memulih sekali pun ke tahap sebelum PRU14.
3. Kadar pertumbuhan tahunan ekonomi tak pernah memulih sekali pun ke tahap sebelum PRU14.
4. Defisit kerajaan serta nisbah hutang kepada KDNK tak pernah memulih sekali pun ke tahap sebelum PRU14.
5. Penarafan antarabangsa kredit Malaysia dan Petronas (sebab banyak menjarah) turun selepas PRU14 dan tak pernah memulih ke tahap sebelum PRU14.
6. Indeks kebahagiaan dan juga nisbah Gini Malaysia (yang menggambarkan kesamarataan pendapatan) tak pernah memulih ke tahap sebalum PRU14.
7. Kadar dividen dan Hibah tabung-tabung simpanan utama Rakyat seperti LTAT (anggota keselamatan), Tabung Haji, KWSP dan ASB tak pernah memulih ke tahap yang tinggi sebelum PRU14.
8. Nilai aset Khazanah Nasional tak pernah memulih sekali pun ke tahap sebelum PRU14. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.