Pengurus, Rosli Ahmad menunjukkan jenis coklat yang dijual di bawah jenama Coklat Unit Berherba iaitu coklat tongkat ali (kanan) dan oklat manjakani (kiri) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA'IM, 08 OGOS 2022.

SERDANG – Sebut sahaja coklat pasti kita membayangkan sesuatu yang manis, enak, harum, lembut, dan menyelerakan.

Umum maklum bahawa coklat mempunyai peminat yang ramai tanpa mengira umur dan latar belakang.

Di pasaran, terdapat pelbagai jenama coklat dan perisa yang seiring dengan peredaran masa.

Dalam banyak produk tempatan yang dijual di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, coklat juga merupakan salah satu produk yang turut dipasarkan oleh usahawan tempatan.

Namun dalam banyak-banyak jenis coklat, coklat berherba yang unik berada di pameran berkenaan.

Berasal daripada Langkawi terdapat enam jenis coklat yang dijual di bawah jenama Coklat Unit Berherba iaitu coklat bunga cengkih; coklat kacip fatimah; coklat tongkat ali, coklat kulit kayu manis, coklat manjakani dan coklat gamat.

Menurut Pengurus Coklat Unit Berherba, Rosli Ahmad, idea untuk menghasilkan coklat herba ini tercetus apabila pelancong dilihat sering membeli coklat ketika berkunjung di Langkawi.

Namun beliau berkata, coklat yang dihasilkan perlulah lain daripada lain.

“Idea ini tercetus kerana Langkawi ini ramai pelancong, yang sering cari minyak gamat, mereka cari bendar-benda begini. Dalam masa yang sama Langkawi juga sinonim dengan coklat kan. Ramai tahu. Jadi kita buat coklat yang lain daripada lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Rosli berkata, sejak coklat herba ini dipasarkan lebih empat tahun lalu pihaknya mendapat sambutan yang amat memberangsangkan terutama dalam kalangan pelancongan Arab Saudi.

Malah tambahnya, Coklat Unit Berherba mempunyai bengkel di Langkawi yang boleh dilawat oleh pelancong.

Terdapat enam jenis coklat yang dijual di bawah jenama Coklat Unit Berherba iaitu coklat bunga cengkih; coklat kacip fatimah; coklat tongkat ali, coklat kulit kayu manis, coklat manjakani dan coklat gamat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 08 OGOS 2022.

Ujar Rosli, pelancong boleh melihat sendiri proses pembuatan coklat berherba di bengkel berkenaan.

“Di Langkawi juga saya buat bengkel tempat coklat berherba ini dibuat. Semua dibuat sendiri pelancong boleh datang masuk bengkel tengok cara pembuatan coklat berherba dan terus beli,” katanya lagi.

Meskipun Coklat Unik Berherba sudah mempunyai pasarannya sebelum ini di Langkawi, namun Rosli berkata, MAHA 2022 yang dianjurkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kali ini merupakan platform terbaik bagi pihaknya meluaskan lagi pasaran coklat enam perisa herba berkenaan.

Optimis dengan masa depan Coklat Unit Berherba, beliau berkata, tidak mustahil untuk menambah perisa herba baharu pada masa akan datang. – MalaysiaGazette