Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud beramah mesra dengan pelancong semasa mengadakan lawatan ke kaunter Imigresen selepas Sesi Engagement Jabatan Imigresen Malaysia bersama Agensi Pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan ia mengamalkan diskriminasi terhadap pelancong India yang mendakwa mereka terpaksa menunggu lama dan duduk di atas lantai walaupun memiliki dokumen perjalanan yang lengkap dan wang perbelanjaan yang mencukupi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang merujuk kepada rakaman video di akaun Tiktok berkata, terdapat beberapa kes pelancong asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak terus berurusan di kaunter imigresen sebaik mendarat.

“Sebaliknya mereka ini akan berlegar untuk tempoh mungkin dua tiga jam yang mana dalam kes warga India mereka ini sebenarnya telah bersembunyi di dalam bilik air dan juga duduk di tempat-tempat awam,” katanya dalam sidang media di KLIA, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan walkabout bersama beberapa agensi pelancongan bagi memberi pencerahan mengenai protokol dan peraturan JIM menguruskan pelancong di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud beramah mesra dengan pelancong semasa mengadakan lawatan ke kaunter Imigresen selepas Sesi Engagement Jabatan Imigresen Malaysia bersama Agensi Pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

Khairul Dzaimee yang mempersoalkan tindakan pelancong warga India itu berkata, perbuatan tersebut telah menimbulkan syak kerana pihaknya mempunyai senarai lengkap penumpang pesawat ke negara ini.

“Kami mempunyai senarai lengkap penumpang dan tahu di dalam penerbangan tertentu berapa ramai warga asing yang meneruskan perjalanan ke negara ini dan selepas,” ujarnya

Tambah beliau, pegawai imigresen akan mencari penumpang pesawat yang tidak muncul di kaunter selepas tiga hingga lima jam pesawat mendarat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud beramah mesra dengan pelancong semasa mengadakan lawatan ke kaunter Imigresen selepas Sesi Engagement Jabatan Imigresen Malaysia bersama Agensi Pelancongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

“Kesemua mereka yang menyembunyikan diri itu ditemui dan dibawa ke dalam pejabat operasi untuk disoal siasat kenapa mereka tidak terus masuk dan sebagainya, hasilnya mendedahkan sebenarnya mereka bukan datang untuk melancong tetapi dengan niat untuk bekerja secara tidak sah.

“Malangnya, lebih menyedihkan mereka sendiripun tidak tahu di mana mereka hendak tinggal di negara ini, selain tidak mempunyai wang saku yang mencukupi untuk perbelanjaan.

“Mereka mengaku sebenarnya datang ke sini bukan untuk melancong tetapi untuk mencari peluang bekerja yang jelas melanggar syarat-syarat kemasukan pas lawatan sosial,” jelas beliau.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua mereka yang terlibat di dalam video yang diviralkan itu diberi status Not To Land (NTL) atau Notis Tolak Kemasukan, disenarai hitam daripada memasuki negara ini selama-lamanya dan telah dihantar pulang dengan pesawat sama.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 34,786 warga asing diberikan status NTL di pintu masuk utama negara sejak Januari lalu yang mana daripada jumlah itu seramai 4,207 warga asing menerima status NTL di KLIA dan diminta pulang ke negara asal.

Katanya, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Vietnam merupakan lima negara yang paling ramai menerima status NTL. – MalaysiaGazette