Onn Jabbar merasmikan simbolik perasmian Johor International Petanque Men’s and Women’s Double Open Champions 2022 yang di Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 900 peserta dijangka menyertai Johor International Petanque Men’s and Women’s Double Open Champions 2022 yang akan berlangsung selama dua hari pada pada 27 hingga 28 Ogos ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Belia, Sukan dan Sukarelawan) Datuk Onn Jabbar@ Jaafar berkata, kejohanan julung kali dianjurkan itu bakal mencatatkan sejarahnya kerana akan direkodkan ke dalam Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan teramai sukan petanque.

“Setakat hari ini, seramai 834 orang peserta telah mendaftar secara rasmi untuk menyertai kejohanan ini yang disertai oleh peserta Malaysia, Korea Selatan, Denmark, Brunei,Kemboja,Thailand, Indonesia, Singapura, Australia, Filipina, Nepal, Zambia, Infia Perancis dan New Macedonia.

“Dua kategori akan dipertandingkan dalam kejohanan ini iaitu berkumpulan (dua pasukan) bagi kategori lelaki dan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Johor International Petanque Men’s and Women’s Double Open Champions 2022 di Iskandar Puteri hari ini.

Kata Onn, hadiah ditawarkan dalam kejohanan itu adalah yang terbesar di antara kejohanan petanque yang pernah dianjutkan di Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM28,000.

“Sasaran utama bagi kejohanan ini adalah penyertaan daripada pasukan pasukan negeri yang sedang membuat persiapan menghadapi SUKMA XX MSN 2022 serta pengiat sukan petanque dari dalam dan luar negara.

“Kejohanan ini boleh dijadikan medan pendedahan kepada penggiat sukan ini untuk memperoleh pengalaman bermain bersama pasukan luar negara.

“Selain itu penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa ini juga akan dijadikan sebagai pra persediaan untuk negeri Johor yang akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran SUKMA 2024,” katanya. – MalaysiaGazette