Kapten Chester Voo

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat latihan jenis Diamond DA-42D, 9M-HMY yang dikendalikan oleh HM Aerospace Sdn. Bhd. (HMA) disahkan hilang kawalan semasa pendaratan dan tersasar keluar dari landasan.di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah pagi tadi.

Kejadian itu berlaku pada jam 11.01 pagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Chester Voo.

Menurutnya, kedua-dua juruterbang tidak mengalami sebarang kecederaan dan sedang menunggu pemeriksaan perubatan.

Pesawat telah dialihkan pada pukul 12.05 tengahari dan pemeriksaan penuh landasan telah dilakukan untuk memastikan keselamatan operasi lapangan terbang dan landasan dibuka semula pada pukul 12.20 tengah hari.

CAAM berkata, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Kejadian ini berlaku selepas lapan hari sebuah pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah Medan Gopeng, Ipoh menyebabkan seorang jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera.

CAAM berkata, sebagai salah satu usaha mempromosikan keselamatan penerbangan, kesemua Pengurus dan Ketua Pegawai Eksekutif daripada organisasi-organisasi latihan penerbangan akan dipanggil untuk taklimat keselamatan.

Kesemua aspek keselamatan pesawat dalam ekosistem organisasi latihan penerbangan akan dikaji semula untuk menambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap piawaian keselamatan semua pihak dalam industri penerbangan. – MalaysiaGazette