Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi utama perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa terpaksa membayar RM19 juta kepada ahli perniagaan, G. Gnanaraja bagi cubaan menutup sebarang siasatan terhadapnya.

Dakwa saksi ke-23 itu, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, beliau terpaksa membayar jumlah itu kerana Gnanaraja mengugutnya dengan dakwaan kononnya akan ada siasatan dan dakwaan pengubahan wang haram serta rasuah jika wang itu tidak dibayar.

Bagaimanapun Zarul yang juga merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) tidak bersetuju apabila peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo mencadangkan dirinya membayar wang itu untuk menyelamatkan syarikatnya.

Saksi, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

Sebaliknya dakwa Zarul, dirinya tidak bersetuju wang itu hanya digunakan untuk cubaan menutup kes bagi syarikat atau dirinya sahaja.

Prosiding hari ini terpaksa ditamatkan lebih awal berikutan isu teknikal audio mahkamah dan ia akan disambung pagi esok di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Sebelum ini, pada prosiding Jumaat lepas, ketika pemeriksaan balas oleh Gobind, Zarul mendakwa dirinya tidak akan sesekali melupakan jasa-jasa Guan Eng sebaliknya sanggup berbohong kepada umum termasuklah rakyat Pulau Pinang bagi menyelamatkan pemimpin DAP dari disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, untuk makluman, sebelum ini ketika prosiding  berjalan, Zarul pernah mendedahkan beberapa kali yang Gnanaraja yang di sifatkan sebagai kaki penipu itu mendakwa beliau rapat dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menggunakan ‘kabel’ itu, Gnanaraja mendakwa pihaknya membayar sejumlah wang supaya siasatan SPRM terhadapnya atau syarikatnya.

Pada April 2019, Gnanaraja telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga tuduhan menipu seorang individu membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan siasatan projek meja terowong dasar laut di Pulau Pinang dua tahun sebelum itu.

Mengikut semua tuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan pengarah urusan terbabit bagi menutup siasatan dilakukan SPRM ke atas individu itu mengikut AMLATFPUAA 2001. -MalaysiaGazette